Padi: KADA, Bernas bekerjasama laksana projek SMART SBB - Utusan Malaysia

Padi: KADA, Bernas bekerjasama laksana projek SMART SBB

MAJLIS pertukaran dokumen memorandum persefahaman pelaksanaan projek SMART SBB antara KADA dan Bernas di Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bagi pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

SAMRT SBB merupakan salah satu program peningkatan hasil padi negara.

Majlis MoU itu diadakan di Ladang Merdeka Jelor, Pasir Puteh dengan KADA diwakili Pengurus Besarnya, Nik Roslan Idris, sementara BERNAS diwakili oleh Ketua Bahagian Pembangunan Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan, Abdul Rahman Mohd. Nasri.

Majlis disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Ronald dalam ucapannya berkata, dengan kepakaran kedua-kedua agensi itu akan berlaku lonjakan peningkatan hasil padi khususnya di dalam kawasan KADA.

“Dengan pengalaman yang dimiliki dan sokongan serta kerjasama daripada golongan sasar kita iaitu petani, sudah pasti kerjasama dalam program SMART SBB ini akan membuahkan hasil yang lebih baik,” katanya.

Menurut Ronald, kementerian telah mula melaksanakan program SMART SBB yang merupakan kerjasama pintar awam dan swasta untuk membangunkan kawasan penanaman padi secara berperingkat di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, pendekatan itu sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Jalinan kerjasama pintar dan strategik awam dan swasta ini telah bermula sejak Februari 2021 dan setakat ini terdapat penyertaan lapan belas (18) syarikat peneraju yang telah menandatangani MoU dengan kerajaan menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar,” jelas beliau lagi.

Menurut kementerian, setakat Oktober 2021 sahaja, seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,778 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.

Ronald memberitahu, program SMART SBB merupakan hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang sedang dilaksanakan oleh kementeriannya bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai SSL beras yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12(RMK12) iaitu sebanyak 75 peratus.

Beliau yakin, dengan kesungguhan semua pihak, program itu bakal mencapai kejayaan besar, seterusnya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN