KUBANG PASU: Bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini mendapat simpati daripada badan bukan kerajaan (NGO) Thailand yang turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa.
Pengasas Yayasan Al-Manjie Zuwairi Japri Al-Manjie berkata, NGO terbabit menyumbangkan beras, pakaian dan telekung untuk diberikan kepada mangsa bencana tersebut yang jumlah keseluruhannya bernilai RM150,000.
“Lebih kurang antara tiga hingga empat NGO yang sama membantu memberikan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir di negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan daripada NGO Thailand kepada Yayasan Al-Manjie di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid.
Beliau berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Thailand yang memberikan kerjasama memudahkan urusan membawa masuk barangan sumbangan itu ke negara ini.
“Kerajaan Thailand yang membenarkan kami masuk dan banyak memberikan kami bantuan. Membuka pintu sempadan untuk kami membawa masuk barang tanpa dikenakan apa-apa cukai termasuk kerajaan Malaysia,” katanya.
Zuwairi berkata, kesemua sumbangan itu akan diuruskan bersama dengan yayasaan berkenaan dan Sekretariat Food Bank Malaysia untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Siti Zailah berkata keprihatinan itu amat besar maknanya kerana ia adalah bukti hubungan baik antara Malaysia dengan Thailand.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir ini.
“Kerajaan sentiasa komited dalam mengutamakan kebajikan rakyat dalam apa jua keadaan apatah lagi dalam keadaan rakyat yang menghadapi bencana ini,” katanya. – UTUSAN










