Mana rumah saya? - Rohana - Utusan Malaysia

Mana rumah saya? – Rohana

Rohana Mahfuz kehilangan rumahnya akibat kejadian banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada Disember tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Nasib seorang nenek yang rumahnya tular ketika banjir melanda daerah ini Disember lalu kerana hanya tinggal tangga, tetap sama walaupun sudah sebulan tragedi itu berlalu.

Rohana Mahfuz, 76, berkata, rumahnya belum diperbaiki malah tiada perubahan pun sejak peristiwa itu.

Bahkan, sebagai warga emas, dia mengakui tidak biasa dengan sistem permohonan yang disediakan kerajaan.

“Mereka tahu keadaan rumah saya dan jika mahu berikan bantuan, beri sahaja tanpa perlu saya lalui sistem yang saya tidak biasa.

“Saya kini hanya tinggal dalam kabin, sementara rumah lama hanya tinggal tangga batu,” katanya kecewa.

Rohana yang tidak mempunyai suami atau anak tidak mahu bergantung kepada adik-beradiknya lantas membuat keputusan untuk tinggal di dalam sebuah kabin di sebelah tapak rumahnya.

Walaupun kekal ceria, Rohana akui rasa kecewa dengan pihak kerajaan yang seolah-olah tidak ambil peduli lagi tentang kesejahteraan hidupnya.

“Kalau ada sepanduk, saya dah tulis dah ‘mana kerajaan pusat dan kerajaan negeri?’ tetapi kita masih mahu menjaga hati kerana mereka itu adalah pemimpin.

“Mungkin saya perlu dirikan khemah plastik di atas tangga batu itu baru saya akan dapat bantuan untuk mendirikan rumah baharu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN