PETALING JAYA: Malaysia langsung tidak ada data mengenai pelarian, malah tiada mekanisme penyusunannya yang mengakibatkan sukar mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kalangan kumpulan itu.
Kes Long Tiger, seorang etnik Rohingya yang meloloskan diri daripada pihak berkuasa di Johor sebelum diberkas semula di Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu adalah antara cerminan mengenai kegagalan mengurus pelarian di negara ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pegawai Turus, Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) Ridzuan Abdul Aziz memberitahu, di pihaknya, jenis data pelarian yang ada hanyalah jumlah pelarian yang diperoleh melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seramai 187,000.

Ketiadaan data lengkap pelarian ini, jelas beliau, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mengawal kegiatan kumpulan tersebut.
“Kita tiada sebarang data seperti biometrik dan sebagainya bagi mengenal pasti maklumat latar belakang, lokasi tempat tinggal dan lain-lain. Perkahwinan mereka pun tidak direkodkan.
“Jadi tiadanya data dari segi pengenalan dan maklumat diri, ini mendatangkan banyak masalah kepada siasatan polis dan agensi-agensi penguat kuasa lain.
” Hanya data jumlah pelarian dari UNHCR yang reliable dan credible
kepada kami,” katanya kelmarin.
Kata beliau, ketiadaan data itu juga mendorong berlakunya kes-kes jenayah dalam kalangan mereka.
“Banyak aktiviti jenayah oleh pelarian ini tidak melibatkan warga tempatan, maksudnya kesan kepada warga tempatan sangat kecil peratusannya. Sebaliknya kesannya hanya kepada kalangan komuniti pelarian itu sendiri, termasuklah kes Long Tiger,” terangnya.
Pada masa sama, kata Ridzuan, ketiadaan kawalan terhadap mereka mewujudkan sistem ‘ekonomi gelap’ apabila setiap transaksi antara pelarian tidak mempunyai jejak wang dan rekod pembelian yang menyukarkan pengesanan dibuat pihak berkuasa.
“Sukar kita hendak menguruskan mereka dengan sewajarnya, sepatutnya pelarian tidak boleh bekerja. Tapi memandangkan atas tuntutan survival, mereka terpaksa bekerja.
“Mungkin kerja yang tiada penyata gaji. Maka pendapatan yang mereka terima, mereka terpaksa simpan sendiri di rumah, sebab mereka tiada akaun bank dan tiada dokumen. Jadi potensi untuk berlakunya ekonomi gelap ini sangat besar,” jelasnya.
Antara aktiviti yang berpotensi wujud daripada sistem sebegini, katanya, termasuk pemerdagangan manusia, perjudian, hawalah iaitu peminjaman wang secara haram (ah long), malah ada potensi terlibat dalam pengedaran dadah.
Dalam perkembangan lain, Ridzuan mendedahkan, pihak Cawangan Khas, melalui risikan yang dibuat, mendapati terdapat ejen perisikan asing yang bergiat aktif di Malaysia, kerana sangat berminat dengan perkembangan politik di negara ini.
“Kita tak nafikan penyuluhan dan perisikan memang berlaku setiap hari di depan mata. Terutama di Malaysia, saya yakin ia memang sangat aktif, kerana negara ini strategik dan amat penting kepada dunia.
“Pada mereka, politik dan ekonomi negara ini yang stabil adalah pemangkin kepada keselamatan di rantau ini. Sebab itu mereka amat sensitif dan prihatin terhadap perkembangan politik dan keselamatan Malaysia,” katanya.- MINGGUAN










