Lengkapkan dos ketiga dahulu, keempat belum mendesak - Utusan Malaysia

Lengkapkan dos ketiga dahulu, keempat belum mendesak

PAKAR kesihatan mencadangkan supaya kerajaan mengutamakan kesihatan awam dalam pasca banjir dan melengkapkan dos ketiga penggalak pada masa ini. – UTUSAN/SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melengkapkan terlebih dahulu pemberian vaksin penggalak ketiga dan vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sebelum memikirkan dos keempat yang keperluannya belum mendesak dalam mengekang penularan Covid-19.

Malah, kawalan dan pengurusan sistem kesihatan awam pasca banjir kepada mangsa yang terjejas juga perlu diberikan perhatian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, beliau tidak menolak kebimbangan mengenai varian Omicron terutamanya dalam kalangan mereka yang pulang dari mengerjakan umrah.

Bagaimanapun katanya, peruntukan kewangan untuk keperluan pemberian dos penggalak keempat itu sepatutnya boleh digunakan untuk memantapkan keperluan perkara lain.

“Tak dinafikan dos penggalak keempat memang bagus, tetapi bukan sekarang. Contohnya Israel sudah bermula untuk pemberian dos penggalak keempat buat petugas barisan hadapan dan warga emasnya.

“Namun isunya, pemberian dos penggalak ketiga di Israel sudah tinggi dan mungkin ada keperluan untuk dos penggalak keempat, tetapi di Malaysia, pemberian dos penggalak ketiga kepada mereka yang layak pun belum selesai lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, media melaporkan, kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat bagi menyekat penularan Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pihaknya mengambil maklum berhubung kajian mengenai pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac tidak mencukupi dalam membendung penularan varian Omicron.

Selain itu, Dr. Sharifa Ezat berkata, pemberian vaksinasi dalam kalangan golongan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang belum menerima sebarang vaksinasi juga perlu dilihat.

Katanya, ini kerana negara dilihat seperti tidak mengambil berat terhadap risiko Covid-19 kepada kanak-kanak, walhal terdapat juga kes kematian Covid-19 melibatkan kanak-kanak.

“Jadi kerajaan kena tumpukan, buat kajian kesan sampingan yang mungkin ada dan pastikan ada panduan untuk merawat kanak-kanak berbanding memikirkan dos penggalak keempat.

“Ini kerana kanak-kanak pun bukan tahu apa kesan sampingan yang mereka ada semasa menerima rawatan selepas pemberian vaksinasi, jadi penting panduan itu,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memantapkan sistem kesihatan awam pasca banjir selepas negara dilanda bencana baru-baru ini.

“Contohnya, sediakan ubat-ubatan kepada mangsa terjejas, rawatan penyakit seperti darah tinggi dan bersedia dengan kemungkinan penyakit bawaan air, jadi mantapkan dulu daripada bersedia dengan dos keempat,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN