ARAU: Kerajaan disarankan menyambung tempoh moratorium yang berakhir hujung bulan ini sehingga enam bulan lagi sekali gus membantu meringankan beban rakyat yang masih terkesan ekoran cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, lanjutan tempoh moratorium masih menjadi keperluan sehingga keadaan benar-benar stabil iaitu sekurang-kurang dalam tempoh enam bulan akan datang.

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Menurut beliau, pandemik yang melanda seluruh dunia sangat memberi kesan kepada rakyat yang sememangnya memerlukan sokongan kerajaan.
“Dalam kekangan ekonomi dan pandemik yang tidak menentu seharusnya lanjutan moratorium diperlukan dan sudah pastinya disambut baik oleh masyarakat khususnya yang masih terkesan.
“Pada masa ini, kita lihat pentadbiran yang konsisten dan sistematik oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjiwai dan prihatin rakyat sama ada ketika musibah dan pelbagai aspek lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Kewangan akan mengemukakan cadangan kepada institusi perbankan mengenai lanjutan tempoh moratorium.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, bagaimanapun penangguhan atau pengurangan bayaran balik bagi mangsa banjir masih berkuat kuasa sehingga tempoh enam bulan, seperti diumumkan sebelum ini.
Tambah Kamarul Azman, momentum baik oleh kerajaan perlulah diteruskan bagi memastikan kesinambungan yang baik antara kerajaan dan masyarakat.
“Keperluan rakyat termasuk dalam soal lanjutan moratorium itu diharapkan dapat diteruskan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan lagi dan sehingga keadaan rakyat benar-benar pulih,” katanya.- UTUSAN