Konsep kerusi tradisi tidak lagi relevan - MIC - Utusan Malaysia

Konsep kerusi tradisi tidak lagi relevan – MIC

S. A. VIGNESWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MIC tidak akan ‘berdegil’ untuk mendapatkan kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya peluang kemenangan Barisan Nasional (BN)  lebih besar jika meletakkan calon parti komponen lain.

Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, keputusan itu dibuat pihaknya kerana langkah konvensional iaitu meletakkan calon di kerusi sama sudah tidak relevan dengan trend pengundian semasa.

Namun begitu, menurut beliau, pihaknya tetap berharap akan diberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah dikenal pasti.

“Seperti kebiasaan, kita akan minta lima kerusi DUN dalam pilihan raya Johor, tetapi untuk dapat atau tidak itu perlu ada alasan munasabah. Kalau tahu nak kalah minta pun tidak guna, jadi siapa yang dirasakan boleh menang kita beri peluang, kalau terdesak itu bermakna kita kena bagi laluan.

“Kerusi tradisi kalau kalah tiada guna, satu perkara yang harus difahami adalah corak kepimpinan dan berpolitik sudah bertukar kerana dalam MIC kita juga ada golongan India Muslim dan Chindian,” kata beliau selepas menghadiri Program Perasmian Penutup Program Taklimat Pilihanraya MIC Johor yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, MIC akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan wakil parti itu turut berada dalam politik arus perdana dan kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan.

Vigneswaran turut menyeru pengundi dalam kalangan masyarakat India  untuk terus memberi sokongan kepada BN Johor yang dipimpin Hasni.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN