PETALING JAYA: Wabak Covid-19 dijangka terus menunjukkan pola melonjak terutamanya selepas cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.
Semalam Malaysia merekodkan 5,139 kes baharu berbanding 5,522 kes yang dicatatkan kelmarin.
Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, pihaknya menjangkakan berlaku lonjakan jangkitan Covid-19 selepas satu atau dua minggu selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina nanti.
Menurut beliau, ini kerana terdapat banyak kelonggaran dalam sebahagian prosedur operasi standard (SOP) dan ditambah pula dengan ancaman varian Omicron pada masa ini.
“Kes aktif pada masa ini sekitar 50,000 dijangkakan terus menunjukkan pola menaik sekali gus adanya kemungkinan jangkitan wabak Covid-19 melonjak daripada apa yang direkodkan ketika ini.
“Situasi ini bagaimanapun dapat dikekang sekiranya ujian pengesanan kendiri dapat dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan kes lebih awal seterusnya kawalan perebakan kes dapat dilaksanakan dengan pantas.
“Ini kerana pencegahan lebih awal dan pantas membolehkan ledakan kes jangkitan wabak Covid-19 dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai jangkitan Covid-19 yang mula melonjak sejak Selasa lalu dengan 4,000 kes sehingga lebih 5,000 kes yang dicatatkan kelmarin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini juga menjangkakan jumlah kes harian berkemungkinan meningkat menjelang Tahun Baharu Cina.
Mengulas lanjut, Dr. Malina berkata, mereka yang pulang bercuti ke kampung disaran memastikan semua SOP semasa perjalanan terutama ketika makan dan minum dapat dipatuhi bagi mengelakkan peningkatan jangkitan.
“Laksanakan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung termasuk untuk individu-individu terutama yang berisiko yang bakal menerima tetamu semasa cuti panjang ini. Sekiranya ada ahli keluarga yang positif, jangan teruskan perjalanan.
“Namun, elakkan pulang ke kampung sekiranya belum menerima dos penggalak, jika individu di kampung seperti mak ayah masih belum divaksin atau dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri disebabkan pendedahan kepada kes positif,” jelasnya.- UTUSAN











