Kerajaan macam tak terkejar trend dadah sintetik - Utusan Malaysia

Kerajaan macam tak terkejar trend dadah sintetik

SEBAHAGIAN daripada 10 pelancong dari Kuala Lumpur yang ditahan mengambil dadah di sebuah bilik hotel di Pantai Tengah, Langkawi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun banyak rampasan dadah dilakukan dan ramai yang ditangkap kerana mengedar dan menyalahguna dadah, kerajaan seperti tidak serius terutama dalam merawat penagih.

Ini kerana sudah banyak kali kejadian pembunuhan disebabkan ketagihan dadah berlaku dalam keluarga.

Setiausaha Agung Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Raja Azizan Suhaini Raja Abd. Latiff berkata, agensi bertanggungjawab sepatutnya perlu lebih mengetahui masalah pengih yang lebih kepada isu kesihatan mental.

Katanya, ini kerana trend penggunaan dadah moden berbeza dengan dadah zaman tradisional apabila lebih menggunakan dadah jenis sintetik yang membolehkan mereka khayal lebih teruk berbanding menggunakan dadah tradisional.

“Agensi yang sepatutnya menangani isu ini seperti tak terkejar dengan trend penggunaan dadah sintetik yang memberi kesan kepada kesihatan mental.

“Lihat sendiri Akta Dadah Berbahaya digubal tahun 1952, Akta Rawatan dan Pemulihan tahun 1983, jadi di mana relevan perkara ini dengan trend dadah sintetik ini.

“Malah, adakah pemimpin politik kita, stakeholder dan agensi bertanggungjawab serius membantu menangani penagihan dadah, isu berkaitan dadah pun tidak pernah dibawa ke Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Raja Azizan Suhaini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bertanggungjawab dalam menangani dadah juga meletakkan syarat yang ketat bagi mana-mana penagih atau keluarga penagih yang mahu mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Katanya, meskipun boleh hadir secara sukarela ke agensi itu, AADK kebanyakannya menerima penagih yang tidak mempunyai tahap kesihatan buruk dan kronik.

“Jadi bagaimana dengan penagih yang ada kesihatan mental, ada sakit kronik ini, dengan siapa mereka perlu pergi untuk dapatkan rawatan dan pemulihan.

“Kebanyakan NGO yang terlibat dalam membasmi dadah ini tahu apa keperluan, tetapi tidak mampu berbuat banyak berikutan kekangan kewangan.

“Jadi jika penagih yang ditolak atau tidak diambil oleh AADK, boleh sahaja minta NGO yang bantukan, tetapi perlulah disertakan dengan bajet,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN