PASIR GUDANG: MIC Johor berharap terus diberi peluang bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mungkin diadakan nanti.
Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva berkata, empat kerusi tersebut melibatkan kawasan DUN Tenggaroh, Kahang, Gambir dan Skudai.
Beliau berkata, pada PRU-14 yang lalu, MIC Johor memenangi kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang, manakala kerusi DUN Gambir dan Skudai menyaksikan parti komponen itu tewas.
“Kita sudah suarakan hasrat tersebut kepada pucuk pimpinan parti dalam satu mesyuarat MIC di Kuala Lumpur semalam untuk dipertimbangkan. Selain empat kerusi tersebut, kita juga harap kerusi DUN Permas turut diberikan kepada MIC pada PRN kali ini. Ini kerana Permas merupakan kerusi tradisi MIC sebelum ini.
“MIC tidak pernah kalah di DUN Permas pada PRU sebelum ini. Semua ini kita ajukan kepada pucuk pimpinan dan mereka akan bincang dengan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) nanti,” katanya selepas program Drive Thru Agihan Barang Segar di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, di sini hari ini.
Pada PRU-14, MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang masing-masing dengan majoriti 5,765 dan 2,861 undi manakala di DUN Gambir dan DUN Skudai tewas masing-masing dengan majoriti 3,088 dan 35,126 undi.
Mengulas lanjut, Deva berkata, sebelum ini kerusi DUN Permas sememangnya milik mereka tetapi pada PRU-14 diberikan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Besar Johor untuk bertanding mewakili BN.
Beliau yang juga Penyelaras MIC DUN Permas berkata, kerusi DUN Permas adalah kubu kuat BN sebelum ini dan permintaan untuk mengembalikan kerusi itu kepada MIC adalah wajar.
“Kami juga berharap kerusi yang ditandingi Gerakan pada PRU-14 iaitu DUN Bukit Batu dan Pemanis akan diberikan kepada MIC atau MCA kerana Gerakan tidak lagi berada dalam komponen BN,” ujarnya.
Mengenai persiapan parti bagi menghadapi PRN, katanya, parti tersebut sudah melakukan kerja menyantuni rakyat sejak kalah dalam PRU-14 lagi pada 2018 bagi memastikan golongan memerlukan terus terbela.
“Selepas BN tewas dalam PRU-14, kita sudah dapat menilai siapa kawan dan lawan apabila terdapat parti komponen yang meninggalkan Kita. Daripada 13 parti pada awalnya, kini hanya tinggal tiga parti dalam BN,” ujarnya. – UTUSAN