Harga barang dijangka naik luar biasa bulan depan - Utusan Malaysia

Harga barang dijangka naik luar biasa bulan depan

Kerajaan diminta melakukan sesuatu untuk mengawal harga barang makanan dan binaan yang meningkat berterusan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menjangkakan semua barang tanpa mengira jenis akan mengalami kenaikan harga luar biasa selepas sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden DPMM, Abd. Halim Husin berkata, kenaikan harga barangan itu didorong oleh lonjakan kos pengangkutan lebih sekali ganda selepas bencana banjir khususnya di Lembah Klang pada Disember lalu.

“Jika dahulu kos pengangkutan barangan kontena di pelabuhan hanya RM400 ke RM800, kini meningkat sehingga RM1,800 ke RM2,500.

“Dengan kenaikan mendadak itu, sudah tentu harga barangan juga akan naik bagi memastikan pengeluar masih mendapat keuntungan daripada penjualan barangan.

“Kawasan Shah Alam yang teruk terjejas banjir baru-baru ini pula merupakan antara kawasan pengeluar terbesar di Malaysia dan mereka terkesan dengan bencana jadi pengeluaran mereka bermasalah dan pasti akan menaikkan harga selepas situasi banjir,” kata beliau semalam.

Susulan itu, menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi mengawal harga barangan daripada pengeluar dan pengguna supaya lebih berpatutan.

“Kerajaan perlu tahu kenaikan harga semua barang akan berleluasa sekiranya tiada penguatkuasaan dilaksanakan.

“Kami jangkakan, selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini, kenaikan harga barangan yang luar biasa jika tiada usaha bagi membendungnya,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan, tekanan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan asas terus membelenggu kebanyakan rakyat sejak negara dilanda wabak Covid-19.

Kenaikan harga bukan sahaja melibatkan barangan runcit tetapi `merebak’ kepada harga makanan asas seperti ayam mentah dan sayur-sayuran.

Sebagai contoh, sektor pertanian dan penternakan yang terkesan dan terus bergelut dengan harga racun dan dedak menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga ayam dan sayur-sayuran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, kerajaan diharap dapat memantau kenaikan harga atau menetapkan harga siling untuk bahan binaan asas bagi membantu kontraktor kecil yang terbeban dengan kenaikan harga terus melambung sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, harga bahan binaan terus meningkat meskipun tidak begitu mendadak seperti sebelumnya tetapi tetap ada antara barang yang mengalami kenaikan setiap dua minggu sekali.

“Harga seperti besi Y16 kini kira-kira RM4,700 setiap tan berbanding harga lama RM1,800 setiap tan. Selain itu, harga bumbung G28 yang kini mencecah lebih RM7 berbanding RM3.70 sebelum ini, manakala harga simen naik daripada RM18 menjadi RM19, selain simen jenis pracampur.

“Perkara ini pastinya membebankan kontraktor kerana nilai projek yang telah dipersetujui adalah mengikut harga barangan sebelum kenaikan mendadak baru-baru ini.

“Jadi, bagaimana kami (kontraktor kecil) dapat bertahan sekiranya tiada campur tangan kerajaan? Kami terpaksa membeli bahan mentah pada harga tinggi yang tidak sepadan dengan nilai projek,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×