Pekerja asing: Hapus kuota ‘kelulusan khas’ - Utusan Malaysia

Pekerja asing: Hapus kuota ‘kelulusan khas’

RAMAI pekerja warga asing di Malaysia mengambil keputusan pulang ke negara asal akibat penutupan banyak sektor ekonomi ketika Covid-19. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa menghapuskan ‘kelulusan khas’ peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak-pihak ter­tentu untuk memonopoli kema­sukan pekerja asing ke negara ini bagi mengelak berulangnya sindiket membawa masuk pe­kerja asing berlebihan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Per­­­khidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran ber­kata, kelulusan itu dipercayai digunakan sindiket sebagai orang tengah antara majikan dengan pihak kementerian bagi mendapatkan kuota tambahan pekerja asing melebihi keperluan walaupun tidak layak.

Menurut beliau, pada masa ini sudah tersebar khabar angin wujudnya 25 syarikat agensi pekerja asing di Bangladesh yang dicadangkan sebagai pihak diiktiraf untuk urusan kemasukan pekerja asing dan dipercayai ada pihak mengambil kesempatan untuk menubuhkan 25 syarikat seum­pamanya di Malaysia.

Mereka dikhuatiri menjadi tali barut sebagai sindiket mahu membolot ‘perkhidmatan’ itu selepas kerajaan mengumumkan kekosongan 1.2 juta pekerja asing yang diperlukan di negara ini.

Kata beliau, gesaan ini selepas negara pernah terpalit dengan isu orang kenamaan yang menjadi sindiket memonopoli membawa masuk pekerja asing Bangladesh ke Malaysia pada 2016 hingga 2018.

“Isu tersebut boleh berlaku semula jika tidak ada tindakan tegas kerajaan.
“Selepas Kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini, kita memberi jaminan tidak ada sindiket seumpamanya untuk membawa masuk pekerja dari negara itu, namun apa yang tersebar ketika ini bahawa wujudnya 25 syarikat induk yang boleh meluluskan kemasukan pekerja asing ini.

“Mana-mana pihak yang memperoleh kuota lebih pekerja asing ini sebab mereka mendapat kelulusan menteri. Sindiket ini dikatakan sudah bergerak mengutip permohonan daripada majikan dan berjanji boleh dapat kelulusan menteri,” kata beliau semalam.

Sukumaran berkata, sistem sebegini perlu diperbetul bagi mengelak Malaysia menjadi lambakan pekerja asing yang masuk secara sah, namun akhirnya menyalahgunakan permit untuk tujuan lain termasuk terus berada di negara ini sebagai pendatang tanpa izin (PATI) sekali gus menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara kerana tiada bayaran levi.

Beliau berkata, sebarang kelulusan sepatutnya melalui sistem sah dan bukannya melalui orang tengah dengan tapisan dibuat oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menilai mana-mana majikan yang betul-betul berkelayakan dengan kemampuan kewangan untuk mengambil pekerja asing.

Beliau mendakwa, kegiatan menggunakan sindiket banyak membabitkan syarikat berstatus sederhana dan kecil kerana tidak cukup syarat untuk mengambil pekerja asing.

“Jangan kerana perkara ini, ia sekali lagi boleh merosakkan imej negara. Namun kita lega dengan komitmen Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberi jaminan semua kemasukan pekerja asing adalah melalui saluran betul,” katanya.

Sukumaran berkata, penggunaan ‘kelulusan khas’ menteri tidak sepatutnya berlaku kerana negara sudah wujud sistem permohonan yang dibangunkan iaitu menerusi laman web www.fwcms.com.my bagi memastikan jumlah pekerja asing yang layak sahaja dibenarkan masuk.

Beliau turut membangkitkan, sistem di negara ini masih longgar menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan.

Lebih menghairankan, kelulusan terakhir kemasukan pekerja asing ke negara ini adalah melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), sedangkan semua permohonan dan urusan pengambilan bermula di peringkat majikan untuk menapis kelayakan dan jumlah sebenar diperlukan adalah diatur JTK.

“JTK yang tahu masalah tenaga kerja manusia di Malaysia tetapi bagaimana kita bagi kelonggaran ini kepada KDN untuk memberikan kelulusan akhir.

“KDN sepatutnya boleh mengawal keluar masuk warga asing, kerana KDN tidak ada maklumat satu-satu syarikat ini berapa ramai perlukan pekerja, layak atau tidak dan sebagainya,”katanya.

Dalam hal ini, Sukumaran mahu kerajaan memahami mengapa pihaknya membangkitkan soal ini kerana mahu menyelamatkan negara dan tidak mahu berlaku lambakan pekerja asing yang tidak sah di negara ini.

Pada masa sama, pihaknya tidak mahu pemberian kuota kepada orang tertentu menjadi tabiat walaupun menteri mempunyai kuasa. Jika masalah ini berlarutan, katanya, majikan tidak lagi mengutamakan pekerja tempatan kerana pekerja asing boleh diperoleh dengan mudah.

Bagaimanapun, beliau yakin Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tegas dalam soal ini selepas kerajaan ‘membersihkan’ PATI sedia ada melalui program rekalibrasi, sekali gus memastikan kemasukan baharu bebas daripada unsur diragui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×