Ejen `beli', `jual' pekerja asing - Utusan Malaysia

Ejen `beli’, `jual’ pekerja asing

Sistem pengambilan pekerja asing di negara ini membuka ruang kepada wujudnya ejen pekerja asing haram.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 50,000 ejen haram pengambilan pekerja asing bermaharajalela di negara ini dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda membekalkan sumber tenaga kerja kepada majikan tempatan secara licik.

Kegiatan ejen haram itu semakin rancak selepas kerajaan mengumumkan untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing bagi memenuhi kekosongan khusus di sektor perladangan.

Ini tidak termasuk jumlah kekosongan sebenar yang diperlukan bagi sektor-sektor lain iaiu sebanyak 1.2 juta mengikut data Kementerian Dalam Negeri (KDN) .

Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, modus operandi ejen-ejen haram itu yang kebanyakannya dalam kalangan warga asing sendiri bergerak secara individu dengan cara sama ada membawa masuk pekerja baharu atau ‘mencuri’ pekerja lama daripada majikan asal dan menjualnya kepada majikan-majikan lain secara haram.

“Dengan cara ini, ejen-ejen haram boleh hidup dan bermaharajalela di Malaysia. Gerak kerjanya mudah, cari kawan-kawan yang cakap bahasa sama dan dia tarik pekerja yang sah bekerja mengikut permit asal.

“Ejen-ejen ini, mereka curi pekerja sah yang bekerja di tempat majikan yang telah berhabis duit membayar kemasukan mereka dan jual kepada majikan lain yang boleh bayar gaji lebih. Mereka bayar komisen kepada ejen itu,” katanya di sini semalam.

Sukumaran mendakwa, sistem urusan pekerja asing di negara ini tidak teratur dan tidak memberi keadilan kepada majikan yang kehilangan pekerja mereka apabila terpaksa membayar denda untuk membatalkan permit.

“Majikan boleh dikenakan denda sehingga RM500 hingga RM780 selepas membuat laporan polis dan imigresen apabila pekerja hilang,” kata beliau.

Justeru, katanya, tindakan penguatkuasaan perlu dipergiat untuk mengesan ejen haram itu bukan semata-mata menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI), sedangkan pendatang asing dengan izin (PADI) sendiri menyalahgunakan permit sedang berleluasa.

Lebih memburukkan, katanya, mereka boleh tinggal di negara ini sehingga 10 tahun jika mempunyai permit sah walaupun bertukar-tukar sektor pekerjaan tanpa mudah dikesan.

Katanya, dianggarkan jumlah PATI di Malaysia sekitar empat juta termasuk mereka yang tiada permit dan masih tidak mahu terlibat dengan mana-mana program rekalibrasi pulang PATI.

“Oleh kerana sistem ini, ramai masuk secara PADI, selepas setahun dia lari daripada majikan ke satu majikan lain, siapa bayar gaji lebih dia pergi ke majikan itu dengan ‘pertolongan’ ejen haram ini.

“Kesalahan pekerja tersebut adalah salah guna permit kerja, langgar syarat permit kerja (dibenarkan kerja sektor A tetapi kerja di sektor B), salah guna permit iaitu bekerja dengan satu majikan asal tetapi bertukar ke majikan lain, selain menjalankan aktiviti perniagaan lain,” katanya.

Menurut Sukumaran, sebagai sebuah persatuan yang memayungi lebih 400 ejen pengambilan pekerja asing berdaftar marah dengan situasi berkenaan apatah lagi mereka terpaksa membayar wang cagaran tinggi sehingga RM250,000 setahun kepada kerajaan demi membawa masuk pekerja asing mengikut peraturan.

Katanya, pada masa ini lebih RM1 bilion wang cagaran berada dengan kerajaan, namun amat menyedihkan apabila kerajaan langsung tidak membuat syor kepada majikan di negara ini untuk menggunakan khidmat daripada ejen-ejen berdaftar.

Sedangkan, katanya, perkhidmatan melalui ejen berdaftar lebih terjamin kerana dilindungi di bawah Akta Pekerja 1955 dan mereka boleh mengambil wang cagaran itu jika berlaku penipuan.

Jika keadaan seperti ini berterusan tanpa kawalan, katanya, majikan akan terus mendapatkan khidmat melalui ejen haram yang memberikan sogokan wang kepada mereka melalui pakatan ejen di negara asal yang mengambil duit daripada pekerja yang mahu ke negara ini sehingga RM20,000 bagi setiap pekerja.

“Ejen di sini akan bayar wang komisen yang dia dapat itu kepada majikan supaya dia dapat jaminan kerja itu.

“Menerusi PAPSMA, pekerja itu tidak dikenakan sebarang kos sebaliknya majikan yang perlu bayar semua untuk bawa pekerja masuk, mana-mana ejen berdaftar di negara asal perlu menandatangani perjanjian dengan pekerja bahawa mereka tidak membayar satu sen pun,” katanya.

Sukumaran turut melahirkan kebimbangan lebih ramai warga asing bakal dibawa masuk secara haram melebihi keperluan asal 32,000 khusus untuk sektor perladangan dan dijangka boleh meningkat dua kali ganda.

Ini kerana katanya, ejen-ejen haram ini sudah ‘kelaparan’ akibat tidak boleh beroperasi selama dua tahun kerana pandemik Covid-19 dan berusaha mencari jalan untuk menampung ‘kehilangan’ pendapatan sebelum ini.

“Kalau 100 orang yang diperlukan, mereka akan bawa masuk 300 orang. Bakinya dia jual kepada sektor lain. Jadi kita percaya jumlah 32,000 ini meningkat dua kali ganda.

“Ejen haram ini mereka guna sogokan untuk memberikan maklumat-maklumat palsu kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan, dan inilah yang akan berleluasa lagi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN