Buka sempadan antarabangsa, sabar dulu - Utusan Malaysia

Buka sempadan antarabangsa, sabar dulu

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keghairahan membuka sempadan antarabangsa bagi kemasukan pelancong luar negara perlu mengambil kira perkembangan jangkitan Covid-19 di negara lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan segala aspek sebelum membuka sempadan antarabangsa.

Beliau berkata, pembukaan sempadan boleh mendatangkan risiko lebih tinggi bagi jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan.

“Kita akan nampak janggal kalau kita buka sempadan, nanti kita dikatakan memandai-mandai kerana negara lain belum bersedia membuka sempadan.

“Justeru, saya menyeru untuk bersabar dan saya tahu situasi ini membuatkan sektor pelancongan parah. Lambat laun apabila negara lain membuka sempadan mereka, kita juga akan ikut sama,” katanya semasa sidang akhbar di Menara Kinabalu hari ini.

Masidi yang juga Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Sabah berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa di negeri berkenaan perlu mengambil kira protokol antarabangsa bagi memastikan keselamatan kesihatan pelancong sentiasa terjamin.

“Itu saya cadangkan dahulu supaya negara-negara Asean menentukan protokol dalam kalangan negara Asean bagi memudahkan perjalanan bersama sambil menekankan kepada keselamatan kesihatan pelancong.

“Kita perlu kreatif dengan menyediakan pelbagai pilihan kerana situasi pandemik Covid-19 ini sukar dijangka. Maka, apabila ada pilihan, kita boleh gunakan pilihan yang ada mengikut keadaan tertentu,” katanya.

Bidang kuasa imigresen terletak di bawah kerajaan negeri maka, keputusan membuka sempadan antarabangsa boleh diputuskan oleh Ketua Menteri.

Masidi berkata, pada masa ini, tumpuan harus diberi bagi menarik kemasukan pelancong domestik ke Sabah yang menyumbang sebanyak 2.7 juta orang sebelum pandemik Covid-19.

Sekiranya 30 peratus daripada jumlah itu datang ke Sabah dalam keadaan pandemik ini, Sabah akan menerima 881,000 orang pelancong domestik yang dijangka mampu menjana RM2 bilion pendapatan kepada sektor pelancongan dalam tempoh setahun. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN