LUMUT: Sebuah bot yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak nekad merempuh bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyebabkan bot mereka terbalik dan semua PATI terhumban ke dalam laut di perairan Johor Selatan, awal pagi tadi.
Bot itu yang cuba menyeludup PATI dari Indonesia memasuki negara ini pada mulanya bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara, sebaik menyedari kehadiran bot Bot Tempur Laju (FCB) TLDM.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, dalam kenyataannya di sini hari ini menjelaskan, dalam kekalutan untuk melarikan diri, bot itu telah bertindak agresif dan mengambil keputusan nekad melanggar FCB yang mengakibatkan bot tersebut terbalik di lokasi.
“Hasil tindakan pantas krew FCB 1123 telah berjaya menyelamatkan sejumlah 21 mangsa dipercayai PATI terdiri daripada sembilan lelaki serta 12 wanita berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Dua daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan, semua 21 PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya telah diserahkan kepada Tim Op Merpati 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut.
Kenyataan itu memberitahu, siasatan lanjut ke atas mangsa yang diselamatkan mengesahkan bot dinaiki membawa seramai 27 individu dipercayai PATI semasa kejadian.
Berikutan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan sejurus kejadian bagi mengesan baki enam lagi PATI yang masih hilang.
Jelasnya, Carilamat dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penglibatan aset TLDM iaitu FCB 1124, RHIB Santi dan RHIB Cerdik di lokasi.
Hasil pencarian telah menemukan tiga mangsa wanita di lokasi berhampiran manakala Carilamat baki tiga mangsa masih diteruskan.
“FCB TLDM sekali lagi membuktikan kemampuan menerusi kejayaan mematahkan jenayah rentas sempadan, kali ini melibatkan cubaan menyeludup PATI.
“Kejadian bermula pada pukul 2.51 pagi apabila Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak di selatan perairan Tanjung Penyusop, Johor.
“Area Control Centre (ACC) Johor seterusnya telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada KD Sri Indera Sakti INDERA yang berada di lapangan, seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas kontak curiga tersebut,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.
Tegasnya, ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebarang masa. -UTUSAN ONLINE