MAINE: Tragedi kapal selam Titan meledak ketika ekspedisi untuk melihat bangkai kapal Titanic yang meragut lima nyawa pada 2023 sebenarnya boleh dielakkan, menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush didakwa mengabaikan amaran keselamatan, kelemahan reka bentuk serta pengawasan penting yang mungkin membawa kepada pertuduhan jenayah sekiranya beliau masih hidup.
Insiden tersebut membawa kepada siasatan tertinggi oleh Pengawal Pantai serta pelbagai tindakan undang-undang dan desakan supaya industri ekspedisi laut dalam swasta diperketatkan.
Titan dimiliki OceanGate, sebuah syarikat swasta berpusat di Washington. Laporan Pengawal Pantai mendapati prosedur keselamatan syarikat itu amat lemah dengan perbezaan ketara antara protokol keselamatan dan amalan sebenar.
Jason Neubauer daripada Lembaga Penyiasatan Marin berkata, penemuan ini akan membantu mencegah insiden sama pada masa hadapan.
“Terdapat keperluan untuk pengawasan lebih kukuh serta pilihan jelas bagi pengendali yang meneroka konsep baharu di luar kerangka peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
OceanGate menggantung operasinya pada Julai 2023 dan jurucakap syarikat itu turut memaklumkan operasi telah dibubarkan sepenuhnya dan mereka memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
“Kami sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban pada 18 Jun 2023, serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” kata jurucakapnya, Christian Hammond.
Dalam laporan setebal lebih 300 muka surat itu, penyiasat mendakwa budaya syarikat OceanGate yang memandang remeh, mengabaikan malah memalsukan maklumat keselamatan penting demi menjaga reputasi serta mengelak penelitian pihak berkuasa.
OceanGate didakwa mengabaikan amaran jelas dan mewujudkan budaya kerja toksik, selain misi mereka turut diburukkan lagi oleh ketiadaan rangka kerja domestik dan antarabangsa bagi operasi kapal selam kecil.
Beberapa bekas kakitangan OceanGate tampil sejak dua tahun selepas tragedi itu untuk menyokong dakwaan tersebut. Laporan turut menyebut pemecatan pegawai kanan serta ancaman tindakan disiplin digunakan bagi menghalang pekerja dan kontraktor daripada menyuarakan kebimbangan keselamatan.-AGENSI










