SHAH ALAM: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) bakal memperoleh aset baharu melibatkan tujuh bot pelbagai guna bagi operasi banjir di seluruh negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd. Ariff berkata, penambahan aset itu antara persediaan dan kesiapsiagaan pihaknya dalam menghadapi bencana alam berkenaan.
Katanya, kesemua tujuh bot baharu itu sudah mendapat kelulusan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Bot jenis flat (rata) berkenaan dilihat bersesuaian untuk memasuki lokasi banjir di kawasan perumahan. Ia bukan saja boleh digunakan dalam operasi (keselamatan) lain, malah bagi misi menyelamat mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pada program misi bantuan banjir di Surau At-Taqwa Taman Sri Muda di sini, hari ini.
Jelas Mastor, seramai 400 pegawai dan anggota PSP ditugaskan sepanjang bencana banjir yang melanda sejak bulan lalu.
“Ia bukan kali pertama PSP terlibat dalam misi bencana itu termasuk ketika pasca banjir. Namun, cuma kali ini banjir luar biasa berlaku di Shah Alam dan Hulu Langat selain negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Terengganu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE









