Banjir: Nabi SAW arah kita jaga pokok - Utusan Malaysia

Banjir: Nabi SAW arah kita jaga pokok

BEGINILAH kerosakan dan kemusnahan harta benda dan alam sekitar di Hulu Langat, Selangor selepas banjir pada 18 Disember lalu. – UTUSAN/ SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dari mana agaknya datang selut tebal dan serpihan kayu-kayuan dalam banjir tempohari kalau bukan dari kesan penggondolan hutan serta penebangan pokok melebihi kadar sepatutnya?”

Teori yang saya ajukan ini diangguk-setuju oleh beberapa pelajar saya dalam kelas kami pagi itu kerana mereka terlibat secara langsung sebagai sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di kawasan bencana banjir.

Apa-apa pun, itu sekadar teori mudah penulis yang bukannya pakar dalam bidang kaji cuaca atau alam sekitar, namun sebagai pembayar cukai negara penulis berasa berhak untuk menyatakan kerisauan berikutan bencana alam luar biasa kali ini. Ini kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan jumlah besar wang pembayar cukai untuk membantu mangsa.

Cuma logiknya, jika pokok di hutan berdiri teguh menjadi ‘brek semula jadi’ hujan, pegangan tanah sukar menjadi selut meluncur pergi bersama deruan hujan ke sungai.

Hakikatnya alam ini sentiasa sujud kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan ‘POKOK KAYU’ dan binatang, serta sebahagian besar dari manusia? … (al-Hajj: 18)

Maksud sujud segala makhluk (selain manusia) dalam ayat ini adalah kepatuhan mereka kepada sistem alam ciptaan Allah.

Bagi konteks pokok, kepatuhannya kepada sistem alam ciptaan Allah merujuk kepada peranannya sebagai stor oksigen, sumber makanan dan ubatan, ‘baldi semula jadi’ yang menadah ribuan gelen air hujan, penstabil tanah, payung teduhan dan sebagainya.

Bukan tidak boleh mengambil hasil masyhul alam seperti balak, tetapi ia perlu dilakukan dengan berhemah dalam sukatan yang betul.

Wujudnya pokok di alam ini menjadi bukti kasih sayang Allah pada manusia, namun ia tidak disedari ramai manusia terutama sekali golongan yang rakus ‘membaham’ balak.

Ketika hujan bercurahan Nabi SAW mencadangkan agar kita membaca doa yang bermaksud: “Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami, jangan turunkannya di atas kami. Ya Allah! Turunkan hujan di bukit kecil, tanah tinggi, lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok. (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Jika diperhatikan secara mendalam, doa ini menyebut lokasi terbaik untuk hujan adalah bukit-bukau, gunung ganang dan tempat tumbuhnya pokok. Semua ini merujuk kepada sistem tadahan hujan.

Lebih khusus, seolah-olah Nabi SAW mahu kita hargai dan jaga pokok kayu serta lokasi tumbuhnya yang memainkan peranan tersendiri kepada alam kerana semua ciptaan Allah ada peranan dan tidak sia-sia.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (sia-sia tanpa fungsi) (al-Anbiya’: 16)

Selain itu, Nabi SAW mengarahkan kerja penanaman pokok tidak ditangguhkan walaupun bumi sedang bergegar mahu kiamat. Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Jika kiamat sedang berlaku sedangkan pada tangan kamu ada benih pokok, maka jika kalian mampu janganlah bangun sehingga benih itu ditanam (Musnad Ahmad).

Menanam dan menjaga pokok turut menjadi stor pahala bagi manusia, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tiada seorang pun Muslim yang menyemai benih atau menanam pokok, lalu ia dimakan oleh burung, atau manusia atau haiwan melainkan ia menjadi pahala sedekah baginya. (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Bayangkan berapa banyak pahala yang kita perolehi jika manusia hidup harmoni dengan sedutan oksigen dari pokok yang kita tanam atau jaga?

Sebaliknya, bayangkan pula dosa yang kita tanggung jika pokok yang kita ‘baham’ menjadi sebab kurangnya oksigen bumi atau susahnya manusia menanggung bencana banjir selut.

Tambah parah jika bencana hasil dari tangan kita meragut nyawa yang mati lemas. Jangan terkejut jika dalam mahkamah keadilan Allah di akhirat kelak kita dibacakan pertuduhan ‘membunuh’.

Bukan tidak boleh mengambil hasil mahsul alam seperti balak, tetapi ia perlu dilakukan dengan berhemah dalam sukatan yang betul. Janganlah sifat ‘kebulur balak’ kita merosakkan neraca keseimbangan alam ciptaan-Nya ini.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Dan tumbuhan yang melata serta pokok kayu, masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-Nya yang lain. (al-Rahman: 6-10).

Jika neraca keseimbangan alam diceroboh dan dicabul, alam sebagai makhluk Allah akan bertindak ‘menampar’ manusia dengan keras.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41)

Masalahnya tamparan alam tidak kena pada orang yang rakus sahaja tetapi menyapu bersih semua orang yang tidak bersalah sebagaimana firman Allah: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya. (al-Anfal: 25).

Itulah lumrah alam ciptaan Allah, lalu apa hikmahnya? Tidak lain, Allah mahu kita semua cakna dengan kemungkaran yang berlaku serta berusaha keras mencegah kemungkaran penggondolan bukit.

Bagi merancakkan usaha pencegahan ini, pihak berkuasa yang memegang amanah rakyat wajib bergerak pantas memangkas langkah manusia yang kebulur balak ini. Kemuliaan pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan diangkat Allah dalam al-Quran: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah: 251).

Ayuh bangkit menjaga pokok dan menyelamatkan alam ini daripada terus dimusnahkan manusia tidak bertanggungjawab.

Jangan sampai kita dicela anak cucu kelak kerana mewariskan bumi yang panas, gondol, sakit dan cedera parah.

  • Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, UIAM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN