60% pengusaha bot henti operasi - Utusan Malaysia

60% pengusaha bot henti operasi

uahan nelayan Perlis yang mendakwa terpaksa menghentikan operasi keluar ke laut kerana tangkapan ikan terus berkurangan ekoran pencerobohan nelayan asing yang mencari siput retak seribu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 60 peratus daripada 150 peng­usaha bot di Kuala Perlis di sini terpaksa memberhentikan operasi ke laut walaupun kerajaan sudah membenarkan mereka mengambil pekerja asing.

Tindakan itu diambil kera­na mereka sudah kehabisan mo­dal selain kebanyakan bot mengalami kerosakan dan tersadai selepas lebih setahun ti­dak beroperasi selain hasil laut yang semakin berkurangan dipercayai kesan daripada pencerobohan bot menangkap siput.

Malah, pengusaha bot juga sudah tidak mampu mengeluarkan modal untuk mengambil semula pekerja asing bagi membantu operasi mereka.

Sebelum ini, mereka gagal beroperasi kerana ratusan pekerja yang terdiri daripada warga Thailand tidak kembali semula ke negara ini berikutan penutupan pintu sempadan disebabkan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong berkata, setakat ini, sekitar 40 peratus sahaja pengusaha bot yang kembali beroperasi selepas mengambil semula pekerja warga pekerja asing.

Namun, katanya, kebelaka­ngan ini, hasil laut semakin ber­kurangan menyebabkan me­­reka tidak memperoleh keuntungan, selain sekadar mendapat pulangan modal sahaja.

Katanya, untuk mendapatkan pekerja asing, pengusaha bot perlu memohon kepada Jabatan Imigresen melalui My Travel Pass namun kos yang tinggi sehingga RM8,000 hingga RM12,000 seorang merangkumi proses, pemeriksaan Covid-19, insuran dan pelbagai lagi menyebabkan pengusaha tidak mampu.

“Ramai pengusaha bot sudah lama berhenti, sebab tidak ada modal lagi selepas sekian lama tidak beroperasi sebelum ini. Kalau hendak turun semula ke laut memerlukan banyak kos seperti membaik pulih bot dan sebagainya.

“Malah, ada pengusaha bot yang berhenti itu melakukan pelbagai kerja lain termasuk menjual ikan bagi mencari pendapatan. Ketiadaan pekerja ekoran pintu sempadan ditutup sebelum ini cukup memberi kesan dan ia dapat dilihat apabila ramai pengusaha bot ketika ini terpaksa memberhentikan operasi,” katanya.

Tambah Seak Tong, ketika ini, pekerja warga asing masih tidak ramai memandangkan kebanyakkan pengusaha sudah tidak beroperasi.

Dalam pada itu, katanya, dia juga tidak mengetahui punca hasil laut semakin berkurangan sejak menyebabkan para pengusaha ot tidak mendapat hasil yang banyak setiap kali turun ke laut.

“Ada kalanya kami rasakan seperti tidak berbaloi apabila memperoleh hasil yang sikit, sedangkan perlu mengeluarkan modal yang besar. Kadangkala hanya dapat modal sahaja,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×