4  mayat di Pulau Jarak, polis tunggu pengesahan Indonesia - Utusan Malaysia

4  mayat di Pulau Jarak, polis tunggu pengesahan Indonesia

NOR Omar Sappi (tengah) pada sidang media di IPD Manjung di Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Empat mayat yang ditemui terapung berhampiran Pulau Jarak dekat sini, pada 30 Disember lalu masih disimpan di unit forensik Hospital Seri Manjung (HSM) dan belum dituntut oleh sesiapa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sehubungan itu polis sedang mengesan waris kepada mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita itu.

“Polis akan berhubung dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menghubungi pihak kedutaan (Indonesia) bagi mengenal pasti waris mangsa.

“Setakat ini, belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak kedutaan mengenai kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini polis percaya kesemua mereka bukan rakyat tempatan kerana tiada kesan suntikan bacille Calmette-Guerin (BCG) pada tubuh mereka.

Jelas beliau, polis juga belum ada kepastian bagaimana mereka boleh lemas tetapi tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan kes bot tenggelam yang dilaporkan berlaku di perairan dekat Sekinchan, Selangor, beberapa hari sebelum itu, dan ia masih dalam siasatan juga.

Sebelum ini, media melaporkan nelayan tempatan menemui empat mayat terdiri tiga wanita dan seorang lelaki, terapung, dekat perairan Pulau Jarak.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman dilaporkan berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat awal penemuan empat mayat itu oleh komuniti maritim pada kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, sekitar pukul 9.05 pagi pada 30 Disember lalu.

Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rutin rondaan Op Tanjung telah diatur gerak ke lokasi dan menemui kesemua mayat tanpa identiti lebih kurang pukul 2.08 petang. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN