UALA KRAI: Selepas terlepas hari pertama persekolahan kelmarin kerana kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, semalam kira-kira 100 pelajar terbabit kembali ke sekolah menaiki pengangkutan sama seperti biasa.
Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong gembira mengikuti sesi persekolahan bersemuka selepas Kelantan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Seorang pelajar Nur Shaza Qistina Saberi, 15, berkata, dia menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke SMK Dabong sejak di tingkatan satu dan kejadian tren tidak berhenti kelmarin adalah kali pertama.
“Saya bernasib baik dapat menumpang kereta keluarga seorang rakan tetapi kami tiba lewat di sekolah kelmarin iaitu kira-kira pukul 8 pagi.
“Walaupun agak lewat, guru memahami masalah kami hadapi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ketika tinjauan semalam, kereta api yang berlepas dari Tumpat itu tiba di Hentian Kuala Gris pada pukul 7.07 pagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Zain Mat Taha dan Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya turut turun padang meninjau operasi tren sambil beramah mesra dengan pelajar.
Semalam akhbar ini melaporkan, sesi persekolahan secara bersemuka bagi kira-kira 100 pelajar dari Kampung Kuala Gris terbantut selepas kereta api tidak berhenti seperti biasa di Hentian Kuala Gris.
Kereta api merupakan pengangkutan utama penduduk di situ dan kejadian itu menyebabkan pelajar SMK Dabong terbabit terpaksa pulang ke rumah semula. Jarak dari kampung itu ke SMK Dabong kira-kira 14 kilometer.- UTUSAN











