Wajibkan sukarelawan buat saringan - Utusan Malaysia

Wajibkan sukarelawan buat saringan

PETUGAS sukarelawan perlu menjalani saringan bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19 ketika menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir dan selepasnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua petugas dan sukarelawan yang melaksanakan misi bantuan banjir perlu lengkap vaksinasi, diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Kesihatan dan membuat saringan Covid-19 sebelum dibenarkan ke lokasi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, langkah tersebut penting bagi memudahkan kawalan sekiranya berlaku penularan dan mengelakkan kemunculan kluster baharu.

“Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu memberikan tempoh tertentu dan menetapkan lokasi sebelum membenarkan kerja-kerja sukarelawan.

“Ia bukan sahaja dapat mengelakkan pertindahan antara NGO lain, tetapi dapat mengelakkan jangkitan dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Dr. Zainal Ariffin berkata, petugas sukarelawan juga perlu membuat ujian kendiri sebaik selesai melaksanakan kerja di lapangan.

“Daripada pemerhatian kami di lapangan, memang ramai yang tidak ikut prosedur operasi standard (SOP). Risiko jangkitan tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr, Kuljit Singh berkata, pemantauan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan terhadap petugas misi bantuan banjir dapat membantu mengurangkan ri­si­ko penularan kluster pasca banjir.

“Namun, apa yang dibimbangi, jumlah kakitangan tidak mencukupi untuk melaksanakan tugas-tugas lain.

“Pada saya pematuhan SOP sangat penting dan NGO perlu bertanggungjawab pastikan semua sukarelawan ikut garis panduan,” jelasnya.

Kes Covid-19 mencatatkan peningkatan sejak kelmarin melebihi paras tiga ribu selama dua hari berturut-turut dengan 3, 997 kes dicatatkan semalam.

Kebimbangan itu diluahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah semalam dengan penularan varian Omicron yang cepat dan keganasan varian Delta boleh mencetuskan tsunami pandemik jika tiada pencegahan awal.

Peningkatan itu menjadikan kes kumulatif kini berjumlah 2,754,513 sejak wabak itu melanda negara tahun lalu.

Menerusi hantaran di akaun Facebook semalam, beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan vaksin, dos penggalak, mengasingkan diri sekiranya bergejala dan menjalankan ujian menggunakan ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri serta mengelakkan perkumpulan ramai.

Malah, katanya, penularan varian Omicron dan Delta boleh mencetuskan ‘tsunami pandemik’ jika tidak mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN