Tukang sorak punca pembuli berani - Utusan Malaysia

Tukang sorak punca pembuli berani

BULI perlu ditangani menggunakan pendekatan holistik dengan sokongan daripada semua pihak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai tukang sorak menyebabkan pembuli berani bersikap ‘besar kepala’ dan menjadi antara punca kes buli tidak pernah terhenti terutamanya di sekolah berasrama penuh.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman berkata, dengan adanya ramai ahli kumpulan yang memberikan sokongan, pembuli menjadi lebih bersemangat berbanding membuli secara seorang diri.

“Pembuli bukan berani pun jika seorang lawan seorang, malah mungkin yang dibuli itu dapat lawan semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, tular satu klip video memaparkan kejadian di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila beberapa remaja menumbuk seorang pelajar lain secara beramai-ramai.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, punca berlakunya kes buli adalah kerana rasa ingin diterima dan takut dipulaukan oleh rakan-rakan.

“Bagi yang mengetuainya pula, kemungkinan ingin membalas dendam terhadap mangsa atau mungkin tidak berpuas hati jika mangsa seorang yang sering dipuji oleh guru, pelajar cemerlang atau juga disebabkan mangsa adalah pelajar lemah dari segi konsep kendiri dan pencapaian akademik.

“Punca lain pembuli mungkin juga pernah atau sering menjadi mangsa dera secara emosi atau fizikal oleh ibu bapa di rumah, maka perlu untuk menyelidiki tentang latar belakang pembuli,” ujarnya.

Menurut beliau, kes buli tidak boleh dipandang rendah kerana implikasi yang sangat besar kepada mangsa dan pihak pendidikan serta melahirkan kegusaran dalam diri ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah berasrama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN