Tolak politik lompat - Utusan Malaysia

Tolak politik lompat

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan perbuatan lompat parti wakil-wakil rakyat sebelum atau selepas pilihan raya boleh menggugat kestabilan Malaysia.

Dalam temu bual eksklusif dengan Mingguan Malaysia, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, trend yang disifatkannya cukup berbahaya itu kini menjadi perkara biasa sehingga rakyat menyampah.

Beliau percaya, sekalipun akan ada undang-undang mengekang lompat parti, ia akhirnya akan bergantung kepada soal integriti seseorang.

“Saya nampak bahawa hari ini yang penting adalah kestabilan, saya ingat kestabilan politik sangat-sangat penting. Tengok apa yang berlaku di Melaka. Saya nampak ini trend dia. Orang sudah menyampah, lompat-melompat ini.

“Anda tengoklah apa yang berlaku. Inilah masalahnya. Apabila you tak ada kekuatan, very marginal (kerusi), macam-macam boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri di Kuching, Rabu lalu.

Ditanya langkah mengekang gejala lompat parti, Abang Johari berkata, seseorang pemimpin politik itu perlu mempunyai prinsip dan berpegang kepada integriti.

“Kalau anda menyekat (undang-undang) pun susah juga tapi mesti ada integriti, dia berbalik kepada integriti. Kalau anda ada integriti, apa juga masalah, anda ada prinsip, teruskan.

“Kalau lompat-lompat mana ada integriti. Ini pandangan saya secara peribadi,” katanya.

Namun, beliau berharap budaya lompat parti yang berlaku secara berleluasa di Semenanjung tidak menular ke Sarawak.

“Rakyat mesti tahu, kita mesti ada kerajaan yang stabil dan elakkan kerajaan yang tidak marginal dari segi majoriti. Baru dia kuat. Kalau pun tak dapat dua pertiga, sekurang-kurangnya anda punya margin itu besar. Kalau anda margin dua tiga orang, yang tiga orang (lompat) habis. Ini pandangan sayalah.

“Saya pengalaman dah 40 tahun, saya dah lihat apa yang berlaku dari dulu.

“Saya dipilih tahun 1981, kita (lalui) banyak krisis antaranya krisis di sana (Semenanjung) pun kita tahu. Jadi, kita mesti elok-elokkanlah sistem politik kita kan. Yang menderita rakyat…mereka,” katanya.

Abang Johari juga yakin pengundi atas pagar dalam PRN Sarawak kali ini akan memberi pengajaran berguna kepada mereka yang lompat parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×