KOTA TINGGI: Kejadian bot karam sehingga mengakibatkan nyawa terkorban melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan persisiran Pantai Tanjung Balau bukan pertama kali berlaku.
Bahkan beberapa kali penemuan mayat dipercayai kumpulan itu yang dijumpai di kawasan persisiran pantai terbabit disyaki mangsa lemas akibat bot dinaiki karam.

Pada 6 Mac lalu, mayat seorang wanita ditemukan bersama 37 PATI yang ditahan dalam Op Benteng berhampiran kawasan pantai terbabit.
Sekitar pukul 1.30 pagi, 6 September lalu pula, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) menahan 28 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil yang dipercayai baru sahaja tiba.
Berselang 10 hari kemudian, 3 Divisyen memaklumkan Tentera Darat menahan 15 lagi PATI termasuk warga China juga di tepi pantai berkenaan.
Sementara itu, pantai itu terkenal sebagai lokasi tarikan pelancongan terutama mereka dari luar dan dalam daerah sebagai tempat mandi-manda di kawasan pantai awam.
Namun, pantainya yang landai serta berhampiran dengan hutan turut menjadi lokasi laluan tikus bagi mereka yang cuba memasuki negara melalui jalan haram.
Semalam sekurang-kurangnya 11 terbunuh manakala 25 lagi PATI hilang selepas bot dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Dianggarkan seramai 50 orang PATI berada di dalam bot berkenaan dengan 21 orang dilaporkan selamat. – UTUSAN










