SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menyelesaikan 161 kes melibatkan tuntutan selepas perceraian menerusi program Sulh (perdamaian) secara dalam talian sehingga September tahun ini.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Hussain berkata, ekoran itu, Jakess memperluaskan program Sulh yang selama ini beroperasi di mahkamah ke peringkat komuniti apabila ia boleh menyelesaikan hampir 50 peratus kes yang didaftarkan di mahkamah syariah.
Menurut beliau, menerusi program Sulh juga, pihaknya mendapati ia mampu menjimatkan masa apabila pada kebiasaannya kes yang didaftarkan mengambil masa 90 hari tetapi ia boleh dijimatkan antara sehari hingga kurang dua bulan sekiranya kedua-dua pihak mengikuti proses Sulh.
“Seramai 95 imam masjid seluruh Selangor dilantik dalam program Kursus Asas Sulh yang diadakan sebanyak tiga siri sepanjang 2019 manakala 140 lagi pegawai sulh wanita terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid pula selesai mengikuti kursus online tersebut pada November lalu.
“Hasil penganjuran program sebelum ini, kita memberi latihan secara asas khususnya berkaitan fungsi, peranan dan tatacara pengendalian rundingan secara sulh sebagai salah satu mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif.
“Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan hak-hak dalam perkahwinan, isu dan tuntutan selepas perceraian, keganasan rumah tangga, penguatkuasaan perintah nafkah dan seumpamanya,” katanya selepas merasmikan Program Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jakess di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Adib memberitahu, objektif program Sulh berhasrat untuk menjadikan komuniti masjid sebagai rakan kepada BSK dalam membantu penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah mahkamah syariah.
Ujarnya, dengan penglibatan langsung para imam ke dalam urusan penyelesaian pertikaian kekeluargaan secara lebih dekat, rundingan awal boleh dilakukan bagi mengelakkan mereka yang sedang bermasalah ini tersasar seterusnya, mengetahui tempat tuju yang betul bagi menyelesaikan isu dan pertikaian mereka.
Justeru ujarnya, orang awam yang menghadapi pertikaian kekeluargaan boleh memilih sama ada dengan melalui proses perundangan di mahkamah atau memilih berdamai tanpa memanjangkannya ke muka pengadilan bagi menyelesaikan isu dan pertikaian. – UTUSAN










