Skim harga maksimum: Peniaga hanya dapat balik modal - Utusan Malaysia

Skim harga maksimum: Peniaga hanya dapat balik modal

SYAZANA Mohd. Salleh berniaga sayur-sayuran di kedainya di Pasar Besar Alor Setar hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR : Kebanyakan peniaga di negeri ini mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang bermula semalam hingga 31 Disember ini.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar hari ini mendapati peniaga yang menjual 12 bahan makanan yang disenaraikan di bawah skim itu mengikutinya walaupun ada sesetengah peniaga peroleh sekadar balik modal sahaja

Antara 12 barang tersebut ialah ayam hidup, ayam standard beserta kaki, kepala, hati dan hempedu yang dijual RM9.30 sekilogram, ayam super dijual RM10.30 sekilogram dan telur ayam gred A, B dan C yang dijual masing-masing sepapan RM12.90, RM12.30 dan RM11.70.

Peniaga ayam, Abdul Shukor Darus, 48, berkata, dia yang peroleh bekalan ayam di Kuala Lumpur sebelum ini menjual dengan harga RM9.50 sekilogram.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa menurunkan harga ayam kepada RM9.30 sekilogram bermula semalam.

“Saya memperoleh sedikit keuntungan sahaja selepas membayar gaji pekerja dan kos-kos lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga sayur, Syazana Mohd. Salleh, 22, berkata, enam jenis sayur seperti cili merah dijual pada harga .RM17 sekilogram, tomato RM 5.50 sekilogram, sawi hijau RM7 sekilogram, kobis bulat RM4.50 sekilogram, kacang panjang RM7 sekilogram dan Timun RM4.50 sekilogram dijual mengikut skim tersebut.

“Setakat ini skim harga itu masih memberi keuntungan kepada peniaga namun rendah
seperti harga kobis bulat sebelum ini dijual RM6 tetapi perlu diturunkan RM4.50,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Zakiah Hassan, 48, berkata, dia dapati harga di bawah skim tersebut memadai dan tidak terlalu membebankan.

“Namun harga ayam saya rasa masih tinggi kerana sebelum ini boleh dapat dengan harga bawah RM8 dan saya harap skim seperti ini perlu diteruskan selain mungkin boleh diturunkan harga barangan lain juga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik skim harga kawalan yang diperkenalkan kerajaan.

“Ia memberi keuntungan kepada pengguna untuk membeli namun kami minta skim yang hanya dilaksanakan ketika musim perayaan ini dapat dibuat lebih awal bagi mengawal harga barangan.

“Selain itu, terus kaji harga barangan dibawah skim ini untuk lebih menstabilkan harga barangan keperluan tidak hanya 12 barang itu sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN