MQA perkenal garis panduan program TVET, bukan TVET

MQA perkenal garis panduan program TVET, bukan TVET

AHMAD Zahid Hamidi berucap sempena merasmikan Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025 di Hotel Renaissance, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenal garis panduan artikulasi antara program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan program akademik bukan TVET.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bagi membolehkan graduan TVET melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi selain memperkukuh kedudukan TVET sebagai aliran pendidikan utama negara.

Katanya, langkah itu juga menggabungkan kemahiran teknikal dan kelayakan akademik bagi membuka peluang lebih luas kepada pelajar mengembangkan potensi akademik dan kemahiran sekali gus melahirkan modal insan versatil yang mampu bersaing di pasaran kerja.

“Ini adalah game changer yang mencerminkan komitmen untuk melahirkan bakat yang berkemampuan tinggi dan bertaraf dunia. Kita komited menyediakan laluan TVET yang setaraf dan setanding dengan bidang akademik lain sama ada di dalam negara atau di pentas antarabangsa.

“Dengan adanya garis panduan ini, kita bukan sahaja mengiktiraf kemampuan graduan TVET, malah mengangkat mereka setaraf dengan lulusan akademik tradisional. Ini membuktikan TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan masa depan negara,” katanya merasmikan Anugerah Majlis Kelayakan Malaysia (MQA) 2025, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pindaan Akta 652 juga sedang dilakukan bagi mengiktiraf tahap kepakaran selain disifatkan sebagai lonjakan yang akan mengangkat TVET ke mercu kecemerlangan baharu.

Katanya, dalam konteks kawalselia MQA, Malaysia memperkenalkan TVET Aras Tinggi di peringkat Sarjana dan Kedoktoran, termasuk pengiktirafan program khusus dalam kerangka kelayakan negara.

“Insya-Allah bagi memperkasa kualiti pendidikan ini, kerajaan sedang meminda Akta 652 bagi mengiktiraf tahap kepakaran tinggi untuk mewujudkan laluan kemajuan sebagaimana laluan bidang akademik.

“MQA telah bersetuju meluluskan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Ini adalah lonjakan bersejarah yang akan mengangkat TVET ke mercu kecemerlangan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×