MUKADIMAH
LEBIH tiga sahaja. Itulah sasaran kerusi PKR selepas kempen pilihan raya negeri ke-12 ini hanya berbaki sehari sahaja lagi esok. Bertanding 28 kerusi kali ini, PKR sedar ‘langit tinggi rendah’.
Tiga wakil rakyatnya setelah menang 2016, semuanya cabut lari. Baru Bian (Ba’kelalan), Ali Biju (Krian) dan See Chee How (Batu Lintang) keluar parti itu tahun lalu, dua ke Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan seorang lompat ke Bersatu.
Ringkas sahaja Pemangku Pengerusi PKR Sarawak yang juga calon Beting Maro, ABANG ZULKIFLI ABANG ENGKEH meluahkan perasaan kepada wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN di Kuching semalam.
Utusan: Apa peluang PKR selepas 10 hari berkempen?
Abang Zulkifli Abang Engkeh: Di atas kertas, nampak bagus.
Respons pengundi?
Kita banyak ke rumah panjang dan orang Sarawak ini mesra. Jadi, nampak ramai yang menyokong dan terima kita.
PKR dianggap parti Semenanjung, boleh menang kah?
Ada juga parti Sarawak yang bergantung kepada Semenanjung, mereka boleh ke menang?
Berapa kerusi dalam tangan?
Lebih dari tiga. Kita dah lama mulakan gerak kerja berkempen, tapi disebabkan lompat si katak lompat dan Covid-19, habis gerak kerja kita. Tapi, minggu akhir ini kita all out.
Adakah keputusan di Melaka akibatkan PKR kalah semua kerusi akan berulang?
Tidak. Itu lain, mood di Melaka lain, mereka lebih kepada sentimen perkauman. Di Sarawak, kita lebih fokus kepada isu-isu pembangunan. – UTUSAN










