Pendapatan e-dagang RM800 bilion tidak bercukai - Utusan Malaysia

Pendapatan e-dagang RM800 bilion tidak bercukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendapatan kasar e-dagang yang bercukai di negara ini mencecah lebih RM800 bilion setahun, namun ramai usahawan dalam perniagaan tersebut mengelak membayar cukai.

Mereka yang dikesan mengelak membayar cukai terdiri pempengaruh media sosial, youtuber, instafamous, Tik Toker, facebooker, game streamer dan pekerja ekonomi gig.

Mengikut Jabatan Perangkaan, pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di engara ini merekodkan RM254.6 bilion melonjak 30 peratus tahun ke tahun pada suku tahun pertama tahun ini yang dipacu sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Pada tahun lalu, pendapatan e-dagang merekodkan RM896.4 bilion meningkat 32.7 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mana prestasi lebih baik itu didorong oleh norma baharu Covid-19 yang merangsang kepada adaptasi digital dalam kalangan pertubuhan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, pihaknya berdepan cabaran menguruskan ekonomi bayangan meliputi kegiatan ekonomi gelap yang masih menjadi ancaman kepada ketirisan hasil dan perniagaan berasaskan e-dagang yang semakin menjadi pilihan pada masa ini.

Katanya, bagi mengatasinya, LHDN akan memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih berfokus bertujuan mendidik serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan percukaian.

Menurut beliau, bagi menguruskan isu percukaian kepada perniagaan e-dagang pula, aktiviti memberikan kesedaran cukai kepada komuniti peniaga e-dagang seperti pempengaruh media sosial, youtuber, instafamous, Tik Toker, facebooker, game streamer dan pekerja ekonomi gig akan terus dipergiatkan.

“Insya-Allah dengan gerak kerja secara berpasukan dan tersusun dalam kalangan warga LHDN, saya yakin sasaran RM132 bilion yang ditetapkan kerajaan kepada LHDN akan dapat direalisasikan,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizom berkata, asas dan tunjang utama kejayaan kepada sistem percukaian di Malaysia melalui Sistem Taksir Sendiri (STS) adalah pematuhan secara sukarela oleh pembayar cukai terhadap undang-undang dan peraturan percukaian.

Bagaimanapun, katanya, sukarela tidak membawa maksud pembayar cukai boleh memilih sama ada mahu atau tidak membayar cukai, sebaliknya, ia adalah dorongan atas kesedaran sendiri untuk menjalankan tanggungjawab mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, jelasnya, aktiviti audit dan siasatan cukai akan kekal sebagai mekanisme semak dan imbang dalam memastikan kejayaan STS bukan sahaja memastikan pengisytiharan cukai adalah betul, malah bertujuan mengelakkan ketirisan hasil negara dan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh.

“Sebagai menjamin ketelusan dalam melaksanakan prosedur audit dan siasatan, LHDN telah menyediakan Taxpayer Roadmap dan pelbagai rangka kerja berkaitan yang boleh diakses oleh orang ramai melalui portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my untuk rujukan.

“Sejajar dengan itu, LHDN berusaha untuk melaksanakan tindakan audit dan siasatan yang lebih berkesan dan memberikan keselesaan kepada pembayar cukai. Misalnya bagi pembayar cukai syarikat yang mempunyai banyak anak syarikat, semakan menerusi audit yang seragam dan serentak akan dilakukan berbanding kaedah sebelum ini yang hanya dibuat kepada syarikat induk,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui cara ini bukan sahaja isu-isu ketirisan cukai dalam kumpulan syarikat yang sama dapat dikesan dan dielakkan lebih awal, malah penemuan-penemuan audit tersebut akan membantu pembayar cukai mengambil tindakan pembetulan dengan segera sekali gus akan menghindarkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang pada masa hadapan.

Bagi tujuan itu katanya, langkah awal yang telah diambil mulai 1 Januari lalu ialah melaksanakan pemusatan fail pembayar cukai bagi kategori syarikat tertentu dan pemencaran fail pembayar cukai bagi kategori Individu Berprofil Tinggi.

“Namun demikian, dengan mengambilkira senario ekonomi, sosial dan pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, LHDN perlu lebih peka dan berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan cukai.

“Dalam senario kini, LHDN perlu memberikan keutamaan kepada menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai agar mereka mudah melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd. Ridzuan Darun berkata, kebanyakan mereka yang terlibat dalam perniagaan itu tidak peka dengan kewajipan membayar cukai kerana bentuk perniagaan seumpama ini tidak mempunyai slip gaji atau potongan terus daripada pihak LHDN setiap bulan.

Kata beliau, masalah kutipan cukai dalam kalangan komuniti ini berlaku kerana wujud kekeliruan terhadap klausa peraturan itu adakah pembayaran cukai hanya dikenakan jika transaksi berlaku dalam negara sahaja sedangkan urus niaga berkenaan turut berlangsung di luar negara.

“Kebanyakan perniagaan ada akaun di luar negara dan ada juga banyak perniagaan langsung tidak menggunakan urusan transaksi di Malaysia. Jadi kita kena perjelaskan apa tanggungjawab usahawan yang berniaga itu untuk membayar cukai. Ini kekeliruan dalam kalangan usahawan, jadi LHDN perlu ambil tindakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu bertindak tegas tidak hanya meminta komuniti berkenaan tampil sukarela membayar cukai, malah perlu menetapkan sesiapa yang tidak membayar cukai juga perlu dikenakan cukai.

Kata beliau, LHDN boleh mengambil data transaksi perniagaan daripada platform e-dagang kerana pihak pengendali platform itu tentunya mempunyai rekod urus niaga berkenaan dan selagi ada transaksi melalui e-dagang, selagi itulah kerajaan ada data.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebergantungan kerajaan terhadap pembayaran cukai secara kaedah tradisional masih tinggi kerana ia bersandarkan kepada kewujudan fizikal perniagaan itu berbanding e-dagang yang agak susah untuk dikenal pasti.

“Kerajaan tidak boleh bertoleransi untuk mewajibkan setiap perniagaan yang diwujudkan di Malaysia perlu tahu di mana ia beroperasi dan perlu ada pandaftaran syarikat kerana sekarang ini ramai buat perniagaan tidak berdaftar.

“Jadi kena ada satu kesedaran kepada semua usahawan yang terlibat dalam gig ekonomi perlu ada tanggungjawab bayar cukai untuk membantu negara.

“Para usahawan perlu jujur untuk isytihar pendapatan mereka, jangan risau jika hanya dapat pendapatan RM100 ke RM200 kerana ada banyak pelepasan yang diberikan, asalkan ada tanggungjawab itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, semua usahawan mungkin tidak sedar keengganan mereka untuk isytihar pendapatan kepada LHDN memberi risiko kepada mereka untuk memohon sebarang pinjaman daripada institusi kewangan.

Ini kerana katanya, pihak bank hanya akan meluluskan sebarang pinjaman perniagaan jika individu itu mempunyai rekod bersih termasuk tidak menyembunyikan mana-mana pendapatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN