PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun razak dan menolak semua 307 alasan yang diberikan oleh bekas perdana menteri itu.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.
Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Hakim Abdul Karim ketika membaca penghakiman berkata: “Ini bukan untuk kepentingan negara, tapi hanya memalukan negara.”
Kenyataan bernada lembut tetapi ‘tajam’ itu ditegaskan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel dua lagi hakim Mahkamah Rayuan di sini, ketika membaca sebahagian penghakimannya setebal 316 muka surat dalam kes Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, penyelewengan dana RM42 juta oleh bekas Perdana Menteri itu daripada SRC International Sdn. Bhd. tidak lain tidak bukan hanyalah untuk kepentingan peribadi dan memajukan karier politiknya.
“Apabila dana tersebut telah diperoleh SRC International, perayu bebas untuk menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadinya. Ini dapat dilihat melalui aliran masuk wang tersebut ke dalam akaun peribadinya. Ini tidak boleh dikatakan dilakukan atas dasar kepentingan negara,” katanya.
Ujar panel tersebut, perayu (Najib) yang pada mulanya mengambil pendekatan agresif dalam memastikan dana KWAP itu diperolehi tiba-tiba berubah sikap apabila wang tersebut berjaya diperolehi.
“Selepas dana disalurkan kepada SRC International, Najib bersikap acuh tidak acuh mengenai keberadaan dana itu dan tidak meminta penjelasan daripada SRC apa yang berlaku kepada dana atau bagaimana ia digunakan dan untuk tujuan apa. Perayu turut mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu untuk tidak ‘menyentuh’ SRC International,” kata hakim itu.
Selain itu, Mahkamah Rayuan mendapati, hakim bicara (Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali) telah membuat pertimbangan yang menyeluruh dalam menentukan kes prima facie serta dan penilaian terperinci dalam pembelaan Najib sebelum mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes mereka melangkaui keraguan munasabah.
“Kami bersetuju bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka melangkaui keraguan munasabah. Oleh itu kami dapati sabitan salah adalah selamat (untuk dikekalkan),” katanya.
Turut dipersetujui oleh panel tiga hakim itu bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Hakim Abdul Karim menyatakan, hakim bicara membuat dapatan yang betul apabila mendapati secara keseluruhan bukti menunjukkan bahawa Najib adakah pengarah bayangan SRC yang mengawal keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.
“Terdapat juga bukti yang banyak menunjukkan ahli lembaga pengarah telah mematuhi arahan dan bertindak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh perayu. Tiada bukti yang menunjukan mereka (pengarah SRC International) melanggar atau tidak mengendahkan arahan perayu.
“Bukti turut menunjukkan telah menjadi `sifat’ ahli lembaga pengarah untuk bertindak atas arahan perayu iaitu perayu yang melantik mereka. Ahli lembaga pengarah tetap mengikut arahan perayu walaupun ia merupakan keputusan komersial yang salah dan dilakukan bukan untuk kepentingan SRC International,”katanya.
Panel terbabit bersetuju bahawa hubungan di antara pengarah dan pemegang saham dalam SRC International tidak mengikut senario syarikat yang biasa.
“Yang paling utama peranan perayu yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus jelas menunjukkan perayu adalah individu yang mengarahkan dan mengawal ‘minda’ SRC,” ujar Hakim Abdul Karim.
Mahkamah juga bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa keterangan turut menunjukkan Najib mengawal hal ehwal SRC termasuk aset dan harta syarikat itu.
Najib dalam pembelaan tetap menyatakan bahawa beliau telah ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho yang bersekongkol dengan beberapa individu lain untuk menipunya seperti Nik bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun, panel terbabit menyatakan, bukti sepanjang perbicaraan menunjukkan perayu mempunyai pengetahui mengenai transaksi melibatkan akaun peribadinya.
“Perkara yang wajar dilakukan oleh mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima wang dalam akaunnya ialah mengembalikan wang itu dan membetulkan kesilapan terbabit.
“Bagaimanapun, perayu tidak melakukannya. Oleh itu keseluruhan keterangan menguatkan inferens oleh hakim bicara bahawa perayu pastinya mengetahui mengenai RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya. Jika tidak beliau pasti tidak akan membelanjakan wang RM42 juta itu,” kata Mahkamah Rayuan.
Selain itu, Najib sendiri tidak pernah membuat laporan mengenai `wang tersalah masuk’ dalam akaun peribadinya itu.
Mahkamah Rayuan juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pergerakan wang RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada akaun bank SRC dan berakhir di akaun peribadi Najib adalah hasil daripada aktiviti haram rentetan daripada tindakan salah guna kedudukan.
Oleh itu, berdasarkan segala bukti yang dikemukakan, Mahkamah Rayuan mendapati segala elemen bagi setiap pertuduhan telah bersahaja dibuktikan pihak pendakwaan melangkaui keraguan munasabah.
Oleh itu, sabitan salah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah selamat untuk dikekalkan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masingmasing bagi tiga tuduhan pecah amanah.
Hakim Mohd. Nazlan turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, manakala bagi kesalahan membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah Tinggi turut memerintahkan hukuman penjara terhadap Najib ditambah lima tahun lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun. – UTUSAN










