KANGAR : Seorang lagi nelayan yang tercampak ke dalam sungai bersama rakannya dalam insiden pelanggaran bot di Sungai Tok Kuning kelmarin, ditemukan di Sungai Denai Larian Pengkalan Asam di sini iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian hari ini.
Allahyarham Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemukan kira-kira pukul 3.27 petang oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat itu.
Terdahulu, mangsa pertama, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi pelanggaran berhampiran pokok paya bakau sekitar satu kilometer dari Jeti Tok Kuning pada pukul 7.46 pagi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, lokasi mangsa kedua ditemukan itu agak jauh dari tempat kejadian iaitu sekitar lima kilometer dan dipercayai Abdul Rashid dihanyutkan arus deras ke situ.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah bagi tujuan bedah siasat. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di denai larian Pengkalan Asam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Khamis lalu, bot yang dinaiki Mohd Faizal dan Abdul Rashid telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah bot fiber yang dalam perjalanan dari muara Sungai Kuala Perlis ke jeti tersebut.
Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa yang difahamkan baru sahaja menunda bot ke bengkel berhampiran telah tercampak ke dalam sungai.
Tambah Wari, operasi mencari dan menyelamat sejak Khamis lalu itu ditamatkan selepas penemuan kedua-kedua mayat tersebut.
“Operasi tersebut melibatkan 79 pegawai dan anggota daripada polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan HTF,” katanya. – UTUSAN










