PETALING JAYA: Kerajaan perlu menguatkuasakan secara mandatori tindakan menghalang individu yang belum divaksin bercampur gaul dengan kumpulan sudah divaksin di semua lokasi awam terutama di pusat beli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan.
Tindakan itu perlu disegerakan selepas Malaysia merekodkan kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron minggu lalu yang mencetuskan kebimbangan negara bakal berdepan gelombang keempat wabak Covid-19.
Setakat ini, Malaysia merekodkan kira-kira sejuta penduduk dewasa berusia 18 tahun dan ke atas belum divaksin dan angka tersebut mencetuskan kebimbangan sama ada mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau bebas berkeliaran sama seperti mereka yang lengkap divaksin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Malina Osman berkata, larangan secara mandatori wajar bagi mengelakkan negara berdepan gelombang keempat Covid-19 sekali gus menyebabkan kerajaan mengambil langkah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, walaupun angka jangkitan harian Covid-19 terkawal sekitar 5,000 hingga 6,000 sehari namun kemunculan varian Omicron dikhuatiri boleh merebak dengan pantas dalam kalangan mereka yang belum divaksin.
“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh digunakan untuk halangan kelompok ini demi keselamatan kelompok yang lebih besar,’’ kata beliau ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, daripada pengalaman dua hampir tahun sebelum ini, rakyat sudah tidak mampu mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi yang bukan setakat menyeksa psikologi tetapi lebih buruk meranapkan ekonomi negara dan keluarga.
“Tekanan psikososial akibat siri-siri PKP masih menghantui kita, jadi kerajaan kena buat sesuatu pastikan varian Omicron atau varian yang seterusnya tidak menyekat lagi kehidupan rakyat,” katanya.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula berkata, kerajaan perlu mencari jalan menggalakkan mereka yang belum divaksin segera berbuat demikian sebelum melaksanakan langkah mandatori menyekat individu tersebut muncul di tempat-tempat awam.
“Malaysia boleh ikut contoh negara lain menjadikan vaksin itu sebagai satu paksaan atau wajib. Kita juga boleh meminta mereka yang belum divaksin itu menanggung kos sekiranya berlaku jangkitan berbanding ditanggung oleh kerajaan.
“Langkah paling asas pastikan kumpulan tidak divaksin bolos ke kompleks beli-belah atau pejabat kerajaan dan tidak boleh melancong dalam negeri juga.
“SOP perlu terus dikuatkuasakan kerana masih ramai yang layak belum menerima vaksin. Viral-load ataupun beban viral bagi virus Covid-19 terbukti lebih tinggi kepada golongan yang belum divaksin dan meningkatkan kebolehjangkitan kepada individu lain,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, pemilik premis perniagaan semakin lalai dengan tanggungjawab memastikan pengunjung mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama tidak memeriksa status vaksinasi setiap individu yang memasuki premis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memberitahu, pihaknya masih menjalankan pemantauan ketat namun mengharapkan lebih ramai pihak tampil melaporkan salah laku premis yang mengabaikan SOP.
“Walaupun banyak negeri-negeri sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun kesedaran orang ramai tentang kepentingan mematuhi SOP semakin menurun terutama dalam kalangan operator ataupun pemilik premis,” kata beliau.
Selain itu, Rodzi berkata, pihaknya mengenal pasti trend premis-premis perniagaan yang mula mengabaikan SOP seperti dari segi pemakaian pelitup muka tidak sempurna, tiada penjarakan fizikal serta pemeriksaan sijil vaksinasi.
“Berdasarkan pemerhatian itu, saya berharap agar semua sedar bahawa perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama dan kita perlu berganding bahu bagi memastikan kes tidak meningkat,” kata beliau.- UTUSAN










