PETALING JAYA : Dua lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes rompakan berkumpulan pada Jumaat lalu.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan kes jenayah melibatkan pegawai suruhanjaya ini.
“SPRM mengesahkan telah membantu siasatan pihak polis dan menyerahkan dua lagi pegawai SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
“Sekali lagi, SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pegawai SPRM yang ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan pada Jumaat lalu disambung reman lima hari sehingga 20 Disember ini.
Noor Dellhan berkata, seorang lagi individu yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.
Seramai 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.by
Jumaat lalu, media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiga lelaki memperkenal diri sebagai pegawai penguat kuasa memecah masuk rumah ahli perniagaan berusia 50-an.- UTUSAN ONLINE