Kelantan, Terengganu dilanda gelombang kedua - Utusan Malaysia

Kelantan, Terengganu dilanda gelombang kedua

KAMPUNG Pasir Raja di Dungun dilanda banjir, semalam. - UTUSANPUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga daerah di Kelantan, Jeli, Kuala Krai dan Pasir Mas manakala Dungun di Terengganu menjadi jajahan terawal dilanda gelombang kedua banjir selepas paras air sungai-sungai utama naik mendadak akibat hujan lebat sejak semalam.

Setakat pukul 5 petang semalam, kerajaan negeri menerusi portal ebanjir.gov.my melaporkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak pagi bagi menempatkan 744 mangsa daripada 206 keluarga.

Tujuh PPS terbabit dibuka di Jeli menempatkan 690 mangsa banjir manakala sebuah lagi di Rantau Panjang, Pasir Mas membabitkan 54 mangsa.

Di Kuala Krai, fenomena kepala air dilaporkan di Lata Berangin sehingga menenggelamkan beberapa kampung di sekitarnya, namun belum ada mangsa dipindahkan di jajahan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah sudah melepasi paras amaran 23.5 meter manakala sungai-sungai utama lain turut menunjukkan trend peningkatan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jeli turut melaporkan Jalan Dabong-Jeli dan Jalan Jeli Lama dinaiki air sedalam hampir satu meter dan ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan sangat lebat di Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang sehingga esok (31 Disember) manakala pada 1 dan 2 Januari pula hujan lebat dijangka melanda Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

Sementara di Terengganu, Dungun menjadi daerah pertama yang dinaik air susulan hujan berterusan di seluruh negeri.

Setakat pukul 4 petang semalam, seramai 69 mangsa melibatkan 22 keluarga di Kampung Pasir Raja di pedalaman daerah itu sudah dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Jumlah itu dijangka terus meningkat dengan lebih ramai penduduk di kampung berdekatan termasuk Kampung Shukur dan penempatan sekitar dijangka berpindah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pemindahan penduduk bermula sejak pukul 10 pagi dengan dibantu pelbagai agensi termasuk bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Walaupun ada kediaman yang belum dinaiki air, tetapi kebanyakan penduduk bersetuju berpindah lebih awal memandangkan keadaan hujan yang masih lagi lebat,” katanya kepada pemberita semalam.

Baharudin berkata, pihaknya turut mewujudkan markas taktikal di Kampung Jongok Batu yang beroperasi selama 24 jam bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk.

Sementara itu, daerah Besut turut berisiko banjir pada bila-bila masa susulan kenaikan paras air sungai di Jambatan Keruak yang kini melepasi tahap bahaya setinggi 35.14 meter.

Kawasan yang bakal terjejas adalah di Kampung Belaoh dan Kampung Keruak

Selain Dungun dan Besut, banjir gelombang ketiga itu turut diramalkan di tujuh perkampungan di Setiu di samping 14 kampung di Hulu Terengganu, mulai pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat menjangkakan tahap banjir pada kali ini sama seperti gelombang pertama lalu.

“Situasi di seluruh negeri masih lagi hujan bersilih ganti jadi saya minta penduduk di kawasan terlibat mengawasi ahli keluarga masing-masing dan bersiap-sedia berpindah jika diarahkan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN