PUTRAJAYA: Sama ada keputusan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berjalan seperti yang dijadualkan esok, bergantung kepada permohonan terbaharunya yang akan didengar hari ini.
Hari ini, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera akan mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam kes tersebut.
Antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa mempunyai kaitan dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Najib turut memohon Mahkamah Rayuan mendapatkan keterangan lisan viva daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.
Sekiranya permohonan itu diterima maka Mahkamah Rayuan akan mendengar bukti dan keterangan baharu itu sebelum keputusan dibuat.
Andai kata ditolak, keputusan pada 8 Disember itu masih berkemungkinan ditangguhkan sekiranya pasukan pembelaan Najib ingin mengemukakan rayuan.
Pada 23 November lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya mengeluarkan kenyataan bahawa panel hakim terbabit akan membuat keputusan terhadap rayuan Najib yang selesai didengar 18 Mei lalu.
Pada 8 Disember ini, Mahkamah Rayuan boleh menbuat keputusan sama ada mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap Najib, meminda hukuman atau mebatalkan keseluruhan sabitan salah serta hukuman.
Pada 30 Julai tahun lalu, Najib selaku perayu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib namun hukuman tersebut ditangguhkan pelaksanaannya sehingga rayuan selesai didengar.
Najib dalam petisyen rayuannya mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak sepatutnya disabitkan dengan kesalahan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.
Antara alasan yang dikemukakan Najib untuk dipertimbangkan Mahkamah Rayuan ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali terkhilaf apabila gagal menimbangkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya ketika mendapati beliau terhadap kesalahan itu.
Hakim Mohd. Nazlan juga didakwa terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa pembelaannya mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud melalui tiga pucuk surat, adalah cerita yang direka.
Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. – UTUSAN










