Bomba siap siaga 12,500 anggota hadapi musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Bomba siap siaga 12,500 anggota hadapi musim tengkujuh

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tengah) menyampaikan anugerah Pelatih Keseluruhan Terbaik kepada Muhammad Al Hakim Mohd. Zulkifli pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 12,500 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan 324 balai bomba di seluruh negara bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, anggota dan aset jabatan juga turut bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi situasi luar jangka seperti kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

“JBPM kini mengatur strategi logistik di air, darat serta udara dan dalam keadaan siap siaga menghadapi banjir. Kami memfokuskan kepada enam buah negeri termasuk tiga negeri di Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Johor.

“Bagaimanapun, nampaknya keadaan cuaca tidak dapat dijangka dan sekarang ini negeri Kedah berlaku banjir. Saya juga ada melihat negeri Kelantan, Kedah dan Pahang yang semakin kerap berlaku banjir dan negeri-negeri tertentu yang kami tidak anggap sebagai berada dalam tempoh Monsun Timur Laut juga ada berlaku banjir seperti di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan memaklumkan, situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara sedikit sebanyak memberi cabaran dalam urusan pemindahan mangsa selain kerja-kerja mencari dan menyelamat. 

“Sekiranya banjir berlaku, ia akan memberi cabaran kepada anggota penyelamat dalam memastikan urusan perpindahan mangsa berada dalam keadaan selamat. 

“Bagi mengelakkan penularan, JBPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, pejabat daerah, pejabat kesihatan daerah dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan anggota penyelamat terlindung dan mereka yang terjejas banjir dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Sementara itu, seramai 77 pelatih ditauliahkan dalam majlis berkenaan yang melibatkan seramai 42 pelajar yang merupakan pelatih daripada pengambilan Ke-3 Sesi Tahun 2018/2019 dan 35 orang pelajar lagi daripada pengambilan ke-4 sesi tahun 2019/2020. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN