KUALA SELANGOR-UMNO Bahagian Kuala Selangor mengambil sikap tunggu dan lihat kerjasama antara UMNO dan Pas di negeri ini atas wadah Muafakat Nasional (MN).
Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, ini disebabkan pada pemilihan Pas Kawasan baru-baru ini beberapa pemimpin yang pro-MN telah tewas.
“Apabila pemimpin yang pro-MN ini tewas (seperti di Shah Alam) kita perlu mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada kerjasama dalam MN antara UMNO dan Pas akan diteruskan dengan Yang Dipertua Kawasan yang baru dilantik. Sehubungan dengan itu kita fokus kepada Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu, MN kita tengok dulu macam mana kerjasama antara UMNO negeri dan pemimpin Pas negeri,” katanya selepas merasmikan Persidangan Sayap Wanita Bahagian Kuala Selangor petang semalam.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menulis surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menyatakan hasrat pihaknya untuk meneruskan kerjasama antara UMNO dan Pas di negeri ini. – UTUSAN ONLINE