SHAH ALAM: Semua agensi kerajaan perlu bersama menggembleng tenaga dan kepakaran masing-masing bagi memastikan tugasan menyelamat mangsa dalam setiap bencana dapat dilakukan dengan lancar.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, agensi keselamatan tidak boleh bekerja sendiri sebaliknya sebarang kekurangan tugas perlu dicari penyelesaian secara bersama.
Menurut beliau, dalam keadaan semua krisis, keselamatan mangsa perlu diutamakan selain memastikan tugasan menyelamat dapat digembleng semua pihak.
“Mana-mana pihak tidak seharusnya menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada agensi berkaitan. Kesepaduan antara agensi penting dalam memastikan keselamatan mangsa lebih terjamin.
“Kita perlu bekerjasama, tiada sistem yang betul. Ini darurat, satu bencana. Jika kita berganding bahu, semuanya dapat digerakkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bencana di Taman Sri Muda di sini semalam.
Affendi berkata, pihaknya dan pelbagai agensi lain kini bersiap-sedia berdepan kemungkinan berlakunya sekali lagi banjir ekoran fenomena Monsun Laut Timur belum berakhir.
“Banjir yang teruk belum habi kerana monsun sebenar belum melanda negeri-negeri pantai timur semenanjung iaitu di Kelantan dan Terengganu,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani pula berkata, 13 sungai di seluruh negara masih berada pada paras bahaya (merah) manakala 10 lagi dalam tahap amaran.
Menurut beliau, ini berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terdapat peningkatan air sungai di 13 lokasi iaitu sembilan sungai di Pahang, Kelantan (2) dan masing-masing satu di Selangor dan Johor.
“Sebanyak 10 sungai kini berada pada tahap amaran, perlu berwaspada kemungkinan akan melimpah dan menyebabkan berpotensi banjir.
“Ini melibatkan dua sungai di Kelantan, Melaka, Sarawak dan satu di Johor dan Selangor,” kata beliau.
Dalam pada itu, menurut Acryl Sani, sejak Jumaat lalu hingga kini sebanyak 137 jalan masih ditutup di seluruh negara.
“Jalan tutup iaitu 120 lokasi di Pahang, Selangor (12), Kelantan (3) dan Negeri Sembilan (2).
“Kita mendapati Pahang agak terjejas teruk, jadi anggota dikerahkan untuk bersedia,” kata beliau.
Jelas beliau, seramai 66,015 petugas daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) digerakkan bagi operasi menyelamat khususnya di tujuh negeri yang masih dilanda banjir.
“Selain itu, sebanyak 1,600 bot daripada semua agensi dikerahkan bagi penyelarasan tugas untuk menyelamat serta menghantar bekalan makanan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani memberitahu, angka kematian dalam bencana ketika ini kekal 37 mangsa manakala 10 individu masih hilang.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 68,341 mangsa banjir direkodkan melibatkan 18,080 keluarga yang kini berada di 396 pusat pemindahan sementara.
“Kematian terbaru direkodkan semalam membabitkan lima mangsa iaitu empat dewasa dan seorang kanak-kanak,” katanya.- UTUSAN










