PETALING JAYA: Belum lega kesan pandemik Covid-19, rakyat kini berdepan musibah banjir di luar jangka sekali gus menyaksikan negara bakal mengalami kerugian diramal lebih RM300 juta ekoran kerosakan harta-benda mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang terlibat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, jumlah itu hanya mengambil perkiraan membabitkan 10,000 keluarga terkesan dan belum mengambilkira kerugian yang bakal dialami sektor perniagaan dan kerajaan.
Menurut beliau, banjir memberikan kesan domino dari segi perbelanjaan semua pihak termasuk kerajaan apabila mereka terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk menampung kos pemulihan dan bantuan.
“Banjir ini memberikan kesan kepada semua rantaian apabila kilang terpaksa ditutup mereka tidak mengeluarkan barangan manakala pekerja tidak dapat bekerja khususnya membabitkan dibayar gaji secara harian. Secara tidak langsung ia menjejaskan hasil kutipan kerajaan.
“Ini satu contoh sahaja, belum lagi peniaga kecil yang terpaksa membeli semula barangan untuk meneruskan perniagaan selepas banjir pulih,” katanya.
Kata beliau, kesan rantaian bekalan keperluan harian akibat penutupan sektor perniagaan ditutup boleh menyebabkan peningkatan permintaan dan penawaran sekali gus tidak menolak berlaku kenaikan harga barangan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bencana banjir di Lembah Klang yang didakwa terburuk bukan sahaja membabitkan krisis di Selangor namun bakal menjadi krisis nasional berikutan kebanyakan sektor ekonomi penting berada di negeri itu.
Katanya, Selangor yang menyumbang hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus dikhuatiri bakal melumpuhkan ekonomi negara secara keseluruhan dan sekiranya negeri itu lumpuh seminggu, rantaian bekalan dan pengagihan barangan pengguna turut akan terjejas.
Menurut beliau, ia bertambah buruk kerana ibu negara turut berdepan situasi sama yang mana kedua-duanya adalah ‘jantung’ ekonomi negara.
“Kerajaan perlu cepat bertindak kerana ekonomi akan terkesan apatah lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baru sahaja beransur pulih selepas lama tidak menjana pendapatan akibat Covid-19,” katanya.
Menurut Aimi Zulhazmi, krisis yang tidak disangka ini memerlukan kerajaan membuat pelan jangka panjang seperti membina terowong SMART di Selangor untuk kawasan-kawasan yang kritikal.
“Jika hujan berterusan, kerajaan juga mungkin perlu mempertimbangkan pengisytiharan darurat kerana Lembah Klang tidak bersedia berdepan banjir teruk seperti kali ini. Ini kerana seperti setiap hujung tahun, segala aset disediakan untuk kegunaan di pantai timur sahaja untuk menghadapi musim tengkujuh,” ujarnya.
Selain itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin memberitahu, situasi semasa banjir ini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ buat para PKS yang baru bernafas setelah beberapa bulan tidak menjana pendapatan.
Menurut beliau, sebilangan besar peniaga yang mempunyai premis perniagaan di Lembah Klang tidak dapat beroperasi seperti biasa disebabkan jalan masih ditenggelami air.
“Sebagai contoh, peniaga restoran sudah tentu mengalami kerugian kerana barang basah yang disimpan dalam peti sejuk beku telah rosak berikutan ketiadaan elektrik sejak semalam (kelmarin).
“Justeru, kerajaan perlu menghulurkan bantuan supaya dapat meringankan bebanan para peniaga,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya kini bimbang jika berlaku kenaikan harga barangan ekoran kos overhed susulan banyak barangan perniagaan rosak di samping gangguan penghantaran bekalan.
Namun beliau menjelaskan, hasil pertemuan bersama pihak industri kelmarin dan mereka memberi jaminan untuk tidak menaikkan harga barangan sebaliknya mahu kerajaan memberikan insentif khas kepada peniaga yang terkesan. – UTUSAN










