6,844 unit kedai tidak laku, rugi RM5.76 bilion - Utusan Malaysia

6,844 unit kedai tidak laku, rugi RM5.76 bilion

SEKTOR pasaran hartanah terutamanya unit kedai menghadapi masalah tidak laku antaranya disebabkan kesan ekonomi yang berpunca daripada Covid-19. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 6,844 unit kedai bernilai RM5.76 bilion di seluruh negara tidak terjual pada suku pertama tahun ini.

Stok tidak laku itu merugikan semua pihak iaitu dari segi kitaran wang apabila aset berbilion tersebut tidak dapat dicairkan, manakala manakala hutang terpaksa dibayar kepada bank.

Perniagaan dalam talian dan norma bekerja dari rumah menjadi antara faktor yang menyumbang keadaan yang berlaku.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, stok tidak laku itu sekali gus merugikan semua pihak iaitu dari segi kitaran wang apabila aset berbilion tersebut tidak dapat dicairkan.

“Bayangkan jumlah RM5.76 bilion terkunci atau beku macam itu sahaja. Ini membawa kerugian bukan sahaja kepada pemaju tetapi juga bank dan pengguna seterusnya negara,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, bagi pemaju, kerugian tersebut disebabkan oleh kos yang dikeluarkan manakala hutang terpaksa dibayar kepada bank tetapi unit masih tiada pembeli.

“Situasi itu menjadi risiko kepada pemaju yang akhirnya akan mengalami masalah aliran tunai dalam urusan perniagaan seterusnya mungkin boleh gulung tikar.

“Kerugian bank pula kerana jumlah berbilion itu tidak dapat digandakan keuntungan kerana tiada pembeli kedai yang sepatutnya membuat pinjaman seterusnya bank akan dapat untung dalam jangka masa 20 hingga 30 tahun lagi,” jelasnya.

Ishak memberitahu, kerugian kepada pengguna pula apabila bangunan tersebut tidak dapat dicairkan atau tidak terjual disebabkan kesulitan mendapatkan pinjaman.

“Ini akan menyebabkan pengguna tidak dapat menjalankan perniagaan dan akhirnya hartanah tersebut mungkin akan terbengkalai,” ujarnya.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (NAPIC) melaporkan, unit kedai tidak terjual pada suku pertama tahun ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 6,904 unit pada suku kedua tahun lepas.

Tidak terjual ketika unit kedai masih dalam pembinaan mencatatkan penurunan sebanyak 19.0 peratus atau 4,361 unit daripada 5,383 unit pada suku kedua 2020 manakala unit tidak terjual belum dibina meningkat sebanyak 2.4 peratus atau 235 unit daripada 203 unit pada suku kedua 2020.

Ishak berkata, pihaknya melihat isu kedai tidak terjual ini dipengaruhi oleh faktor ketidakpastian dalam kalangan pembeli, pihak bank dan perubahan dunia serta cara berniaga yang tidak lagi memerlukan ruang perniagaan seperti sebelum ini.

“Pertama, orang ramai masih lagi tidak yakin dengan rancangan pemulihan pasaran hartanah dan pemulihan fasa berikutnya. Jadi ketidakpastian itu membuatkan mereka tidak berani membuat keputusan untuk membeli premis kedai bagi melebar operasi mereka.

“Lanjutan itu, ketidakpastian juga berlaku dalam pemberi pinjaman apabila pihak bank masih lagi menetapkan syarat-syarat ketat pinjaman kepada peminjam. Jadi, walaupun seseorang itu minat untuk membeli, tetapi jika tiada pinjaman, maka seseorang itu tetap tidak boleh membeli,” jelasnya

Kata beliau, faktor kedua mempengaruhi ialah perubahan cara berniaga yang semakin hari semakin tidak memerlukan ruang perniagaan kerana budaya bekerja dari rumah (BDR) sudah menjadi sebahagian daripada norma baharu sejak penularan Covid-19.

“Norma baharu ini menyebabkan keperluan untuk membeli unit kedai menurun. Peniagaan dalam talian semakin bekembang malah berkerja dari rumah juga semakin ramai jadi tidak guna beli kedai mahal-mahal,” katanya.

“Mereka yang mahu membeli untuk tujuan pelaburan pula berkira-kira kepada pulangan daripada sewaan. Contoh hanya tingkat bawah sahaja boleh disewakan, manakala tingkat atas yang sesuai untuk pejabat sukar untuk mendapat penyewa, akhirnya pulangan itu tidak cukup untuk mereka membayar balik pinjaman,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan positif pembelian kedai pada suku kedua dan ketiga tahun ini meskipun laporan rasmi belum dikeluarkan.

Katanya, ini susulan ekonomi yang sudah mula rancak semula berikutan sektor-sektor ekonomi mula dibuka sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, peningkatan itu mungkin tidak tinggi sekiranya pihak bank masih lagi mengetatkan dari segi memberi pinjaman.

“Jadi kita berharap pihak bank dapat membantu pembeli yang berminat untuk membeli kedai dengan memudahcarakan pembelian tersebut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon berkata, unit kedai sama ada masih mendapat permintaan untuk disewa atau tidak ia bergantung kepada kawasan dan perniagaan yang dijalankan oleh penyewa

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya mendapati ketika keadaan sukar sekarang ini, kebanyakan pemilik kedai terpaksa melonggarkan pembayaran sewa bagi memastikan premis mereka kekal ada penyewa.

“Namun, memang tidak dinafikan jika perniagaan dimiliki seseorang itu tidak mampu menjana keuntungan maka premis kedai itu terpaksa dipulangkan kepada pemiliknya.

“Oleh itu, pemilik pula akan mengambil masa untuk mencari penyewa lain ketika pandemik masih tidak menentu dan dari situ akan kelihatan banyak unit kedai terbiar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×