4 hari, tiga kes buli pelajar diterima polis Pahang  - Utusan Malaysia

4 hari, tiga kes buli pelajar diterima polis Pahang 

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dalam tempoh empat hari sejak 6 Disember, polis Pahang menerima laporan kes buli pelajar melibatkan tiga sekolah di negeri ini. 

Tiga laporan itu melibatkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Kesemua pelajar terlibat dalam kejadian buli itu telah  dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan soal siasat, mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan disedari oleh keluarga. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior kerana menyalahguna telefon bimbit hingga mengalami bengkak dan lebam di badan.

Menurut beliau, laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Maran mendakwa dia  dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama sehingga mengalami lebam pada bahagian perut.

“Pada 10 Disember polis menerima laporan seorang pelajar tingkatan dua menyatakan ketika berada di asrama sebuah sekolah di Kuala Lipis dipukul dengan tangan oleh beberapa pelajar senior kerana dituduh menghisap vape di asrama dan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kelmarin, tidak sampai 24 jam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di negeri ini yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan ‘karung tinju’ oleh senior.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada Jumaat minggu lalu apabila kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dirotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima. 

Mohd. Yusri berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan meminta pihak keluarga pelajar terlibat memberikan kerjasama kepada sekolah serta polis.

“Polis Pahang akan bekerjasama dengan pentadbiran sekolah terutamanya sekolah-sekolah berasrama bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membendung gejala buli dan pergaduhan ini dari terus menjadi budaya yang tidak sihat. 

“Semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM di Pahang juga telah diarahkan untuk memberikan perhatian berkenaan isu ini,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN