20 peratus murid tahap satu di Johor tercicir  3M - Utusan Malaysia

20 peratus murid tahap satu di Johor tercicir  3M

MAZLAN Bujang (tengah) ketika melancarkan Program Penjana KPT Cap@Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menganggarkan sehingga 20 peratus daripada seramai 131,281 murid tahap satu di negeri ini gagal menguasai tiga kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara  sejak awal tahun lalu antara faktor yang mempengaruhi keadaan tersebut.

Sehubungan itu, menurut beliau, kerajaan negeri telah merangka program khas iaitu Didik Johor dengan peruntukan RM450,000 bagi membantu murid yang tercicir dalam menguasai kemahiran 3M.

“Program Didik Johor yang akan mula dilaksanakan tahun depan itu akan dibantu guru-guru pakar melalui pelaksanaan kaedah tuisyen.

“Program perintis yang dikelolakan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah dilaksana sejak bulan lalu melibatkan perumahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, PPR Kempas, dan PPR Bakar Batu,” kata beliau selepas melancarkan Program Penjana KPT Cap@Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam program berkenaan, Mazlan turut memberitahu seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menjadi penerima manfaat program Penjana KPT-CAP Johor.

Ujarnya, menerusi program berkenaan, graduan anak Johor yang bermastautin di negeri ini akan memperoleh Sijil Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar menerusi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberikan elaun makan minum dan tempat tinggal. Mereka akan menjalani latihan industri di restoran makanan segera sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan.

“Selepas tamat program, mereka akan terus diserap bekerja secara automatik apabila tamat latihan. Inisiatif ini dirangka bagi membantu graduan menganggur mendapatkan pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya