KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak.
Beliau ketika dihubungi Utusan Online berkata, ia berikutan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan dan secara langsungnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dianggap dibubarkan.
“Maka itu, DUN Sarawak secara langsungnya dianggap telah dibubarkan, justeru SPR perlu mengadakan perbincangan dengan kadar segara untuk menetapkan tarikh bagi pilihan raya, penamaan calon dan pengundian yang mana perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari bermula pembubaran DUN,” katanya.
Jelasnya, memandangkan situasi negara masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, SPR perlu meneliti dan merangka proses pilihan raya yang selamat.
“Panduan bagi prosedur operasi standard (SOP) yang selamat perlu dikeluarkan oleh SPR bagi memastikan sepanjang proses PRN-12 Sarawak berjalan dengan lancar dan selamat.
“SPR juga perlu segera mengadakan perbincangan mengenai SOP agar tarikh mengundi dapat ditetapkan dalam masa yang terdekat ini,” ujarnya.
Terdahulu dalam satu kenyataan media pada Rabu, Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja.Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Meskipun begitu, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.
Kata beliau, keputusan itu diperkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu. – UTUSAN ONLINE










