PUTRAJAYA: Selepas hampir tujuh bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, sesi persekolahan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka bermula hari ini.
Sesi persekolahan secara penggiliran yang dibuka semalam membabitkan kemasukan murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.
Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai ibu bapa, namun dengan kes Covid-19 yang menghampiri fasa endemik dan semakin terkawal, pembukaan semula sekolah berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) di sini, mendapati proses pergerakan masuk murid lancar dengan pemantauan guru-guru sekolah seawal pukul 6.45 pagi.
Selain itu, kehadiran polis trafik mengawal lalu lintas memudahkan pergerakan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Putrajaya Presint 14(1), Zuliana Zam Zam berkata, operasi kehadiran hari pertama persekolahan lancar dengan peranan guru-guru serta ibu bapa selain dibantu polis yang bertugas.
Menurut beliau, guru-guru diberikan tugas membantu kehadiran murid-murid ke sekolah begitu juga selepas tamat waktu persekolahan.
“Perjalanan trafik hari pertama lancar. Murid-murid mematuhi SOP seolah-olah mereka semua sudah memahami peraturan ditetapkan.
“Kami juga menempatkan 10 guru bertugas pada waktu pagi dan 10 orang lagi ketika waktu pulang untuk memudahkan perjalanan murid-murid,” katanya yang turut berada di hadapan sekolah menyantuni murid-murid serta ibu bapa.
Zuliana berkata, ujian suhu badan setiap murid di lokasi setiap laluan juga banyak membantu proses kemasukan murid-murid yang menunjukkan keterujaan untuk kembali ke sekolah.
“Jika ada suhu badan melebihi 37.5, murid terbabit akan diasingkan dan dibiarkan rehat seketika sebelum diimbas kembali suhu.
“Jika masih tidak berkurangan, pihak sekolah akan memaklumkan ibu bapa untuk mengambil murid berkenaan,” ujarnya.
Seorang bapa, Faizal Fuad, 42, berkata, dia yakin dan tidak bimbang untuk menghantar dua anak perempuannya ke sekolah.
“Kaedah penggiliran yang disyorkan sesuai, anak saya tiada masalah dengan SOP baharu ini, bagi saya semuanya lancar.
“Mungkin ada masanya apabila berada dalam kelas murid-murid akan bercampur dan leka seketika tetapi saya yakin guru yang bertugas akan mmurid-murid ikut SOP,” katanya.- UTUSAN











