PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan rakyat negeri itu memberi mandat semula berbanding mandat yang dilanjutkan sebelum ini.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, pihaknya menjangkakan PRN itu perlu dilaksanakan seawal 27 November atau selewat-lewatnya 11 Disember tahun ini.
Beliau berkata, ini berikutan Kerajaan Negeri Sarawak pada masa kini berada dalam mandat yang dipinjam atau mandat yang dilanjutkan.
“PRN itu penting dilaksanakan bagi membolehkan Ketua Menteri Sarawak mendapat mandat sendiri supaya lebih yakin melaksanakan pelbagai projek yang dirancang bagi penggal mendatang.
“Malah, ini adalah ujian pertama kali buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai satu entiti politik menggunakan jenama dan logo baharu selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018.
“Ini juga sebagai ujian persediaan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mengubah suai prosedur operasi standard (SOP) dan tatakelakuan pengundi yang mengambil kira kesamaan keluasan negeri itu serta taburan pengundinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.
Dengan penamatan darurat, ia membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Menurut Jeniri, mengadakan PRN Sarawak bukan suatu di luar kebiasaan kerana terdapat 120 negara atau wilayah di seluruh dunia yang mengadakan pilihan raya dalam keadaan jangkitan wabak.
Bagaimanapun, katanya, perkara yang harus menjadi keutamaan adalah untuk meyakinkan rakyat menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka bagi memastikan jumlah yang keluar mengundi berada di paras memuaskan sekurang-kurangnya sekitar 70 peratus.
“Ini adalah satu cabran kepada SPR dan parti politik yang bertanding kerana pada 2016 pun peratusan turun mengundi hanya sekitar 70.01 peratus dan yang paling rendah pernah dicatatkan iaitu 63.22 peratus pada 2006.
“Namun, mengambil kira kadar penurunan jangkitan Covid-19 di negeri itu dan peratusan penerimaan vaksinasi dalam kalangan penduduk yang berada di paras tinggi, maka ia sepatutnya memberi keyakinan kepada para pengundi untuk turun mengundi,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan GPS dan DAP menjadi pemain parti politik utama sekiranya PRN itu dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE










