Saran peruntukan sama rata buat semua wakil rakyat - Utusan Malaysia

Saran peruntukan sama rata buat semua wakil rakyat

LOKE Siew Fook sewaktu berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021, Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dasar peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan termasuk kepada wakil rakyat pembangkang wajar dikaji semula.

Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata, konsep pemberian peruntukan sama rata disarankan supaya dapat diberi kepada semua wakil rakyat tidak kira sama ada mereka ADUN kerajaan atau pembangkang.

Jelas beliau, langkah tersebut dilihat  selari dengan situasi politik semasa negara yang ketika ini dilihat sedang melalui persekitaran politik lebih profesional dan matang.

“Saya menyarankan secara dasarnya peruntukan ini perlu diberikan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira daripada kerajaan atau pembangkang. Ia termasuk peruntukan untuk pusat khidmat dan permasalahan rakyat, ia juga perlu diberikan.

“Sebelum ini saya melalui waktu yang mana pusat khidmat saya dinafikan peruntukan lebih 14 tahun. Jadi saya faham adalah sukar buat ADUN pembangkang untuk menyelaras dan mengekalkan pusat khidmat mereka tanpa peruntukan daripada pihak kerajaan.

“Secara umumnya, sesiapa sahaja yang berada di blok pembangkang, peruntukan ini perlu diberikan supaya perbelanjaan yang asas seperti sewa pejabat pusat khidmat, mengambil pekerja dapat ditampung menerusi peruntukan itu tanpa menggunakan elaun ADUN. Elaun ADUN adalah gaji kepada ADUN dan mereka perlu mempunyai pendapatan seperti rakyat biasa juga dan digunakan untuk tujuan peribadi,” katanya.

Siew Fook berkata demikian sewaktu berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021, Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini hari ini.

Tambah beliau, perkara tersebut diharap dapat dipertimbang oleh kerajaan negeri supaya budaya politik baharu juga dapat dibawa di Negeri Sembilan.

“Saya faham ada sentimen dalam kalangan rakan-rakan ADUN kerajaan yang mengatakan bahawa dahulu juga mereka tidak memperoleh peruntukan tersebut, tetapi kita kena tunjukkan bahawa kita adalah kerajaan yang lebih baik dan adil.

“Landskap politik negara kita sedang berubah, kita mahu demokrasi negara kita subur dan matang. Semangat dalam DUN Negeri Sembilan perlu diteruskan kerana situasi politik Negeri Sembilan saya lihat jauh lebih baik daripada kebanyakan negeri.

“Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, kami bertindak profesional dan tidak mengambil tindakan konfrantasi dengan kerajaan pada masa itu. Sekarang pembangkang dalam Negeri Sembilan juga baik dan bersikap profesional jadi ia perlu diteruskan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya