PADANG BESAR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Perlis telah membelanjakan RM5.629 juta melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan kepada pekebun kecil di negeri ini sejak awal tahun sehingga kini.
Pengarahnya, Nor Afzami Isa berkata, peruntukan tersebut melibatkan empat bidang utama iaitu penanaman semula pokok getah dan bekalan sebanyak RM4.711 juta, produktiviti, pemasaran dan program khas (RM575,500), pembangunan usahawan (RM260,000) dan pengembangan dan pemindahan teknologi (RM82,590).
Menurut beliau, kesemua peruntukan tersebut telah memanfaatkan kira-kira 3,500 pekebun kecil di seluruh negeri ini.
“Kami juga sangat memberi penekanan supaya semua keluarga pekebun kecil untuk menjalankan aktiviti keusahawan di bawah objektif Model Perancangan Strategik Risda (MPSR) 2021-2025.
“Melalui model ini, kami mahu pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan menjelang 2025. Pendapatan tersebut boleh diperoleh dari kebun getah, aktiviti keusahawanan dan hasil baharu,” katanya pada Program Pekebun Kecil Makmur peringkat Risda Perlis di Dewan Orang Ramai, Kampung Titi Tinggi Hilir, Padang Besar di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Azizan Sulaiman.
Pada majlis tersebut, Azizan turut menyampaikan replika cek bantuan Risda sebanyak RM260,000 untuk beberapa program pembangunan bagi kawasan Kampung Titi Tinggi Hilir di sini.
Sementara itu, Azizan memberitahu, usaha untuk mendekati generasi kedua dan ketiga daripada keluarga pekebun kecil penting untuk membangunkan ekonomi mereka.- UTUSAN