Polis cari penyebar gambar kejadian bunuh libatkan pembesar suara - Utusan Malaysia

Polis cari penyebar gambar kejadian bunuh libatkan pembesar suara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab merakam dan menyebar gambar kejadian seorang lelaki mati dalam pergaduhan di pasar pagi dekat Flat Jalan Ashby di sini semalam.

Penyebaran gambar kejadian yang memperlihatkan polis seolah-olah tidak mengambil tindakan meleraikan pergaduhan itu mendapat pelbagai respon negatif warga maya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, siasatan dan pengesanan individu-individu yang merakam gambar kejadian sedang dijalankan. 

“Bertindak atas maklumat awam, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan sekali gus membuat tangkapan terhadap semua suspek.

“Bagaimanapun, gambar yang tular di media sosial seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan itu.

“Tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan dengan memberi  kenyataan berunsur negatif tanpa mengetahui fakta sebenar adalah tidak bertanggungjawab dan dikesali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, perbuatan menyebarkan kenyataan tidak benar dan tohmahan tidak berasas lalu tular di media sosial hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dikhuatiri menjejaskan reputasi dan kredibiliti polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN