Pengundi Melaka tolak pemimpin muncul lima tahun sekali - Utusan Malaysia

Pengundi Melaka tolak pemimpin muncul lima tahun sekali

Poster calon BN Dr. Akmal Saleh ditampal pada beg penghantar makanan sempena PRN Melaka di Merlimau, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rata-rata pengundi Melaka masih menaruh harapan agar kerajaan negeri dibentuk kelak tidak sekadar menabur janji-janji kosong dan hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka yang akan menjalankan tanggungjawab esok mahu bukan sekadar janji dapat dikotakan tetapi menolak pemimpin yang menjadikan mereka sebagai mangsa permainan politik seperti mana berlaku hari ini.

Menurut peniaga, Zulkiple Omar, 62, manifesto yang berjela-jela pada hari berkempen tidak lagi mampu ‘menyedapkan’ hati rakyat kerana masalah sama tetap berulang termasuk isu banjir yang melanda negeri ini dengan kekerapan paling kurang dua kali setahun.

“Mereka (wakil rakyat) tidak perlu menabur janji yang berjela-jela dalam manifesto, cukup fokus pada satu isu sahaja dan diselesaikan secara tuntas. Kemudian barulah beralih ke isu yang lain.

“Tidak perlu perancangan berlebihan sehingga apa sepatutnya dilaksanakan akhirnya hanya separuh jalan atau menyimpang daripada objektif sebenar, kalau hujan teruslah turun untuk mencari penyelesaian situasi,” katanya.

Pesara, Sulaiman Daud, 67, memberitahu, pengundi Melaka kini serik kerana silap memilih pemimpin yang sibuk berpolitik sepanjang masa sehingga mencetuskan polemik politik tidak kesudahan.

Beliau kemudian mengajak rakyat negeri ini untuk keluar mengundi esok supaya dapat memilih calon dan parti yang stabil dan menjamin masa depan rakyat secara keseluruhan.

“Kita telah serik sejak 2018 kerana salah memilih pemimpin, jadi jangan tersalah langkah lagi dan akhirnya seperti berlaku pada hari ini. Pilihan kita sebenarnya adalah kestabilan,” jelasnya.

Bagi seorang peniaga, Diyana Damira Ghafar, 38, pula, dia menyifatkan PRN ini sebagai tidak berbaloi apabila berlaku akibat percaturan permainan politik sesetengah individu berkepentingan peribadi.

Justeru kata wanita itu, dia masih teragak-agak untuk keluar mengundi kerana bukan sahaja bimbang penularan Covid-19 malah sudah bosan dengan sikap pemimpin politik tertentu.

“Tengok dahulu saya hendak keluar mengundi atau tidak pada esok.

“Ada masa lagi untuk berfikir sama ada perlu keluar mengudi mahupun tidak,” katanya yang menjadi pengundi untuk kali pertama dalam PRN Melaka ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN